My Add

Sunday 21 July 2013

Pulau Perhentian akan terus nikmati pembangunan

 Pulau Perhentian
KUALA BESUT, SABTU, 20 Julai, 2013: Pulau Perhentian akan terus menikmati pembangunan dengan kepercayaan dan sokongan berterusan yang diberikan penduduknya terhadap Barisan Nasional (BN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menegaskan bahawa kesetiaan masyarakat pulau itu tidak pernah diragui, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau yakin penduduk dapat melihat sendiri dan menikmati pembangunan yang telah dan akan dilaksanakan oleh BN.

"Saya beri jaminan bahawa pembangunan dan pembaharuan akan terus dilakukan di masa depan dan sebagai pulau pelancongan ke-13 tercantik di dunia saya ingin lihat lebih banyak hotel dan kemudahan dibina," katanya sebelum berbuka puasa bersama penduduk di Masjid Pulau Perhentian di sini.

Majlis anjuran Jawatankuasa Masjid Pulau Perhentian dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Besut itu turut dihadiri Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh dan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Hadir sama isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Norainee Abd Rahman.

Muhyiddin juga memohon kerjasama penduduk yang akan keluar mengundi Rabu ini supaya memberikan sokongan kepada calon BN bagi memastikan pembangunan yang dirancang kerajaan dapat diteruskan dengan lancar.

"Calon kita ini tidak hanya akan datang ke sini hari ini sahaja tetapi saya janji beliau akan terus datang lagi apabila diumumkan sebagai pemenang bagi melihat dengan lebih dekat bentuk keperluan yang diperlukan penduduk," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Zainudin Mohamad ketika mengalu-alukan kedatangan Muhyiddin turut berikrar untuk meneruskan tradisi sokongan kepada BN dengan memberikan kemenangan dengan majoriri lebih besar pada hari pengundian nanti.

Katanya ikrar itu sebagai tanda terima kasih penduduk atas kesudian Timbalan Perdana Menteri dan isteri yang sanggup meredah Laut China Selatan ke perkampungan mereka.

Muhyiddin dan rombongan kemudiannya berbuka puasa dengan hidangan tradisi seperti daging masak singgang dan salok lada sebelum sembahyang Maghrib.

Timbalan Perdana Menteri kemudiannya menyertai tahlil diikuti solat Isyak dan bertarawih bersama penduduk. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment