My Add

Wednesday 3 July 2013

Rang Undang-Undang Pentadbiran Islam tidak bahaya: PGSM

KUALA LUMPUR, SELASA, 02 Julai, 2013: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menegaskan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 adalah tidak berbahaya serta tidak bersifat subversif sebagaimana dakwaan sesetengah pihak.

Presidennya, Musa Awang berkata, tiada perubahan radikal dalam Seksyen 107 Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 berbanding akta yang lama iaitu Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).

Jelasnya, peruntukan tersebut telah sedia ada dalam Seksyen 95 Akta 505 dan dilaksanakan sejak 1993 sehingga sekarang.

"PGSM beranggapan pihak-pihak yang mempertikaikan seksyen ini berkemungkinan tidak faham dan perlu diberikan penjelasan. PGSM tegaskan sekiranya keseluruhan rang undang-undang ini ditarik balik, bermakna kedudukan Seksyen 95 dalam Akta 505 tersebut akan dikekalkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Seksyen 107(b) dalam Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 memperuntukkan bahawa persetujuan salah seorang ibu bapa memadai untuk menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam.

Kandungan seksyen itu dilihat oleh banyak pihak sebagai bertentangan dengan keputusan Kabinet yang diumumkan pada 23 April 2009, iaitu agama seseorang kanak-kanak tidak boleh ditukar oleh ibu atau bapa secara sepihak.

Sementara itu, tambah Musa, pihaknya berpendirian bahawa kedudukan Seksyen 107 (b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 itu adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Susie Teoh dan beberapa kes lain yang menyatakan seorang anak bawah umur boleh memeluk Islam dengan kebenaran daripada ibu atau bapa atau penjaganya.

"Jadi tidak timbul soal majlis agama Islam ingin merampas hak mana-mana orang bukan Islam kerana Perlembagaan telah menetapkan sedemikian. Jika ada pihak yang tidak setuju dengan seksyen tersebut, bermakna Perlembagaan Persekutuan yang perlu dicadang untuk dipinda.

"PGSM lebih setuju soal ini diputuskan oleh mahkamah mengikut fakta kes masing-masing. Masalah yang lebih penting adalah bagaimana seorang bapa yang memeluk Islam bersama anaknya, hendaklah juga menjaga silaturahim dengan ibunya yang masih belum memeluk Islam kerana penting akidah seseorang sepatutnya tidak memisahkan hak ibu dan anak," katanya.

Dalam pada itu, Musa turut menyeru supaya semua wakil rakyat beragama Islam di Parlimen dapat bersatu hati dan menyokong Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan ) 2013, bagi memastikan rang undang-undang tersebut dapat diluluskan dengan lancar dan berkesan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment