My Add

Wednesday 3 July 2013

Dewan Rakyat kecoh isu Lahad Datu

KUALA LUMPUR, SELASA, 02 Julai, 2013: Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang terus mempersoalkan kelewatan kerajaan menangani isu pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.

Kekecohan bermula apabila Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) tidak 'puas hati' dengan jawapan diberikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaffar bahawa kelewatan tersebut disebabkan prosedur kerjasama menerusi semangat ASEAN.

Wan Junaidi sebelum itu menjawab soalan asal Bung Moktar bahawa pihaknya tidak bercadang untuk mendedahkan maklumat lanjut dan terperinci mengenai pencerobohan di pantai timur Sabah itu kerana masih berada dalam siasatan polis.

"Pelbagai persepsi dan tanggapan masyarakat terutamanya oleh rakyat Sabah. Kita melihat pencerobohan ini terlalu berat, kenapa begitu lama penyiasatan diambil dan adakah pihak ketiga terlibat dalam pencerobohan ini, kenapa tindakan kerajaan menghalang begitu lambat dan kenapa perlu ada rundingan," kata Bung Moktar.

Menjawab soalan tersebut, Wan Junaidi berkata, memandangkan penceroboh terdiri daripada rakyat asing, siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tertumpu kepada menjaga hubungan serantau antara Malaysia dan Filipina termasuk tujuan kemasukan terlebih dahulu.

"Penyiasatan antara PDRM dan pihak keselamatan Filipina memakan masa lama kerana memerlukan kerjasama kedua-dua negara menerusi semangat ASEAN.

"Oleh itu, kita perlu berhati-hati dan sebaik sahaja mengetahui dan mengenal pasti tujuan mereka, barulah kerajaan menghantar tentera serta memulakan gerakan yang akhirnya menamatkan pencerobohan berkenaan," kata beliau.

Selain itu, menjawab soalan tambahan Nasrudin Hassan (Pas-Temerloh) yang mempertikaikan kecekapan agensi penguat kuasa negara, Wan Junaidi berkata, kewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang meliputi kawalan ketat sepanjang 1,400 kilometer merupakan langkah terbaik diambil kerajaan.

Beliau berkata, masyarakat juga perlu sedar keadaan pantai di timur Sabah yang luas serta jarak dekat antara Lahad Datu dan selatan Filipina menyukarkan pasukan keselamatan mengawal keadaan.

"Sekarang kita telah meletakkan segala mekanisme, perbincangan dan kerjasama dengan kerajaan Filipina termasuk kewujudan Esscom.

"Rakyat Sabah kini boleh berasa selamat dengan kewujudan Esscom," katanya.

Pada 7 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Esscom yang meliputi daerah Lahad Datu, Sandakan, Kunak, Kudat dan Tawau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment