My Add

Wednesday 10 July 2013

Remaja perempuan, 4 lelaki geng pecah rumah ditahan

MUAR, SELASA, 09 Julai, 2013: Polis menahan seorang remaja perempuan dan empat rakan lelakinya yang dipercayai terlibat dalam satu kumpulan pecah rumah dan curi kereta dalam satu serbuan di sebuah rumah di di Jalan Salleh di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, ketika serbuan kira-kira pukul 6 pagi itu, remaja perempuan berusia 16 tahun itu dan empat rakannya berusia antara 20 hingga 30 tahun sedang khayal dipercayai selepas mengambil dadah.

"Hasil pemeriksan di rumah tersebut polis berjaya merampas sebuah kereta Proton Waja yang dilaporkan hilang di Kandang, Melaka, awal tahun ini, enam buah telefon bimbit, satu unit komputer riba.

"Turut ditemui pelbagai jenis senjata dan peralatan untuk pecah rumah seperti sebilah kapak, empat bilah parang, pengumpil selain tiga keping kad kredit dan lesen memandu, kesemuanya bernilai lebih RM70,000," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, polis turut menemui empat paket plastik dipercayai mengandungi dadah jenis Syabu dan 10 biji Eramin 5.

Polis percaya penangkapan ini dapat membantu mereka menyelesaikan empat kes samun serta ragut, dua di Melaka dan dua kes di daerah ini.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat sama ada terdapat saki baki anggota kumpulan ini yang masih bebas.

Kelima-lima suspek termasuk remaja perempuan yang telah berhenti sekolah itu juga didapati positif dadah kini ditahan reman sehingga 16 Julai untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 392, 394, 379, 379 (a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment