My Add

Friday 5 July 2013

Sektor swasta perlu tingkatkan daya saing: Rafidah

SINTOK , KHAMIS, 04 Julai, 2013: Sektor swasta disarankan memberi tumpuan kepada peningkatan daya saing dan penerokaan pasaran luar negara menjelang pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) sepenuhnya pada 2015.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, selain dua aspek itu sektor swasta Malaysia mesti bersedia menerima pihak luar yang masuk untuk bersaing dalam pasaran negara ini yang kecil.

"Dalam konteks Malaysia, kita tidak menghadapi banyak masalah kecuali meningkatkan daya saing," katanya selepas menyampaikan syarahan bertajuk 'Isu dan Cabaran: Persediaan Menghadapi 1Asean 2015' di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.

Rafidah adalah Profesor Adjunct Sekolah Pengurusan Perniagaan di Kolej Perniagaan UUM. Menurutnya, sektor swasta Malaysia juga perlu bertahan dan berusaha menyuburkan pasaran mereka sendiri untuk bersaing dalam pasaran bebas.

"Kerajaan telah menyediakan prasarana yang baik dan agak sama rata dengan banyak negara ASEAN kecuali Myanmar, Kemboja, Vietnam dan Laos yang ketinggalan.

"Jika empat negara ini dapat meningkatkan pembangunan dan prasarana mereka, ASEAN akan benar-benar dapat mengukuhkan ekonomi komunitinya dalam masa singkat kerana hampir semua negara sudah membuka pasaran dan mengubah dasar-dasarnya.

"Ini meletakkan ASEAN dalam kedudukan cukup berpotensi dan terbaik untuk menarik pelaburan boleh tercapai," kata Rafidah.

Selain itu pelbagai rangka kerja dan perjanjian telah ditandatangani antara negara ASEAN mempermudahkan kerjasama dan perdagangan dalamannya untuk menjadi satu pasaran tidak akan terhalang, tambahnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment