My Add

Monday 22 July 2013

Serangan bom ragut 65 nyawa di Iraq

 * DUA anggota keselamatan Iraq meninjau sebuah masjid Sunnah yang menjadi sasaran pengebom berani mati di bandar Wajihiya, daerah Diyala kelmarin.
BAGHDAD, AHAD, 21, Julai, 2013:Gelombang serangan bom di wilayah Baghdad meragut 65 nyawa kelmarin, kata beberapa pegawai ketika Iraq berusaha mengekang keganasan terburuk di negara itu sejak 2008.

Seramai 520 orang terbunuh dalam keganasan yang berlaku di Iraq sepanjang bulan ini.

Seorang kolonel polis dan pegawai perubatan berkata, sebanyak 12 bom kereta dan sebutir bom tepi jalan meletup di sini dengan sebutir lagi di Madain, selatan bandar raya ini.

Siri letupan itu turut mencederakan 190 orang.

Gelombang serangan bom itu melanda bandar raya ini semasa penduduknya keluar membeli-belah dan berehat di kafe-kafe selepas waktu berbuka puasa.

Dalam beberapa serangan paling berdarah, dua bom kereta membunuh 12 orang di Karrada manakala dua bom kereta dan sebutir bom tepi jalan meletup di Zafraniyah. Keganasan turut berlaku di utara Iraq.

Sebutir bom tepi jalan yang meletup meragut nyawa seorang anggota polis dan mencederakan seorang lagi di Mosul. Sebuah bom kereta di tenggara bandar raya itu membunuh seorang wanita dan mencederakan 22 orang termasuk tujuh anggota polis.

Kelmarin merupakan hari paling berdarah di Iraq sejak 10 Jun lalu apabila 78 orang terbunuh dalam beberapa serangan keganasan.

Menurut sumber perubatan dan keselamatan Iraq, lebih 2,700 orang terbunuh dalam serangan pengikut Sunnah dan Syiah di negara itu sejak awal tahun ini. - AFP/KOSMO!

No comments:

Post a Comment