My Add

Monday 29 July 2013

Shahidan puas hati proses Pilihan Raya Umum Kemboja

Oleh Mohd. Khuzairi Ismail

PHNOM PENH, AHAD, 28 Julai, 2013: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim melahirkan rasa puas hati dengan perjalanan dan proses pilihan raya umum di Kemboja yang diadakan hari ini.

Sambil menyifatkan proses itu berlangsung dengan subur dan aman, beliau berkata, Kemboja berjaya membuka ruang demokrasi kepada rakyatnya untuk memilih pemimpin mereka secara sah.

Malah, beliau turut melahirkan rasa kagum dengan keterujaan rakyat negara ini terutama golongan muda menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi sekali gus menunjukkan kesedaran demokrasi yang tinggi dalam kalangan rakyat negara itu.

Walau bagaimanapun, Shahidan mengakui masih terdapat beberapa kekurangan yang boleh diatasi kerajaan Kemboja dalam memastikan pilihan raya umum negara ini lebih sempurna.

Sebagai contoh, katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya Kemboja (NEC) perlu melihat kepada penyediaan daftar pemilih yang lebih berkredibiliti termasuk menubuhkan daftar pemilih.

“Seperti yang dapat dilihat hari ini, ada pemilih yang datang mengadu kepada saya namanya digunakan pihak lain untuk mengundi sedangkan dia belum lagi berbuat demikian.

“Kes sebegini walaupun terpencil, namun saya akan membawanya dalam mesyuarat bersama NEC kelak," katanya kepada pemberita di sini.

Shahidan berada di sini sebagai pemerhati antarabangsa kepada proses pilihan raya umum kelima Kemboja atas jemputan Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia (ICAPP).

Beliau mengetuai delegasi sembilan orang dari Malaysia termasuk Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Kamaruddin Mohamed Baria; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyanti Samsudin dan wakil media bagi meninjau proses pilihan raya umum tersebut.

Terdahulu, Shahidan turut berpeluang menyaksikan persediaan sebelum proses pengundian bermula termasuk menguji dakwat kekal yang digunakan buat kali ketiga dalam pilihan raya umum di negara ini.

Ditanya mengenai harapan menerusi pembentukan kerajaan baharu Kemboja selepas pilihan raya umum itu, Shahidan berkata, beliau berharap mana-mana parti politik yang dipilih sebagai kerajaan mengekalkan hubungan dua hala dan diplomatik yang baik dengan Malaysia seperti mana dikecapi selama ini.

Dalam pilihan raya umum kali ini, sebanyak 9.67 juta rakyat Kemboja layak mengundi bagi memilih wakil-wakil bagi 123 kerusi Dewan Perwakilan Rakyat Kemboja dalam kalangan tujuh parti politik yang bertanding.

Pusat pengundian yang dibuka seawal pukul 7.30 pagi ditutup pada pukul 3 petang dengan keputusan tidak rasmi dijangka diumumkan lewat malam ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment