My Add

Friday 26 July 2013

Skim kawalan harga musim perayaan bermula hari ini

 * MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hassan Malek (dua dari kanan) membuat tinjauan mengenai harga barangan kawalan sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan 2013 di Pasar Besar Jalan Meru, Klang, hari ini. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
PUTRAJAYA, JUMAAT, 26 Julai, 2013: Seramai 1,845 anggota penguat kuasa dan 1,071 pegawai pemantau harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mula digerakkan ke pasar di seluruh negara hari ini, hari pertama pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan.

Ketua Pasukan Petugas Khas bahagian penguat kuasa kementerian, Fahmi Kasim, berkata kumpulan petugas ini akan meningkatkan pemantauan di lokasi tumpuan ramai seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar raya besar sepanjang 17 hari skim yang berkuat kuasa mengikut Akta kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 itu berlangsung.

Beliau berkata, di bawah skim kawalan harga itu, selain memastikan harga barangan kawalan tidak dijual melebihi harga maksimum yang ditetapkan, peniaga turut diwajibkan meletak tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan kawalan bagi membezakannya daripada barangan lain.

Menurutnya, selain harga, pemantauan juga bertujuan memastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang musim perayaan ini, dan pengguna tidak dimanipulasi oleh peniaga misalnya dari aspek timbangan.

"Kami pantau semua premis yang menjual barangan di bawah skim harga kawalan ini, bukan sahaja pasar besar, malah kedai runcit biasa pun yang menjual barangan harga kawalan ini turut dipantau," katanya ketika ditemui selepas membuat pemantauan bersama kira-kira 20 anggota di pasar awam Presint 8 di sini, hari ini.

Skim kawalan harga yang diumumkan pada 19 Julai lalu itu menyaksikan harga ayam standard ditetapkan pada kadar tidak melebihi RM7.70 sekilogram sepanjang tempoh berkenaan, manakala 20 jenis barangan lagi, antaranya ayam super, ayam standard, daging lembu tempatan, daging lembu import dan daging kerbau import dari India; turut ditetapkan kadar harga maksimum.

Bagi kesalahan tidak mematuhi harga mengikut skim kawalan itu, peniaga individu boleh dikenakan hukuman RM100,000, dan bagi syarikat, denda sehingga RM500,000; manakala bagi kesalahan tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu, peniaga individu boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM10,00 dan syarikat RM20,000.

Fahmi berkata, anggota penguat kuasa akan menempatkan pegawainya secara tetap di sebuah pasar besar terpilih di setiap negeri dari awal pagi sehingga pasar itu ditutup pada lewat petangnya, bagi memudahkan orang ramai mengemukakan sebarang aduan atau kemusykilan.

Merujuk kepada pasar awam di Putrajaya beliau berkata, tinjauan mendapati kebanyakan peniaga mematuhi harga kawalan ayam standard yang ditetapkan iaitu RM7.70 sekilo, malah menurutnya harga cili merah di sini dapati RM2 lebih murah berbanding harga maksimum yang dibenarkan.

Tinjauan di pasar awam Presint 8 di sini mendapati sebuah kain rentang besar yang menyenaraikan harga barangan kawalan itu dipasang di ruang niaga pasar itu bagi kemudahan rujukan orang ramai. BERNAMA

No comments:

Post a Comment