My Add

Wednesday 10 July 2013

SOP dalaman wajibkan pegawai awam yang ditawar rasuah lapor kepada SPRM

 * ABU Kassim Mohamed (tiga dari kiri) bersama Halimah Hassan (dua dari kanan) dan Sutinah Sutan (dua dari kiri) bergambar dalam Majlis Pemeterian Memorandum Persefahaman antara Jabatan Alam Sekitar dan SPRM di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA, SELASA, 09 Julai, 2013: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu agensi kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dalaman bagi mewajibkan pegawai yang ditawar rasuah melaporkan perkara berkenaan atau dikenakan tindakan tatatertib.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, walaupun undang-undang telah menetapkan bahawa penjawat awam yang ditawarkan rasuah perlu melapor kepada SPRM, tetapi amalan tersebut perlu dibudayakan di peringkat agensi.

"Walaupun kegagalan penjawat awam melapor tawaran rasuah sudah pun menjadi kesalahan tetapi lebih baik jika terdapat arahan dan SOP dalaman meminta semua pegawai berbuat demikian atau dikenakan tindakan tatatertib.

''Ini merupakan perkara yang agak sukar (untuk melaporkan tawaran rasuah), tetapi ia boleh jadi mudah jika budaya sedia ada diubah melalui polisi dalaman," katanya ketika berucap dalam majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara SPRM dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di sini hari ini.

MoU yang merangkumi kerjasama dari aspek pengesanan, pembanterasan dan penyaluran maklumat mengenai rasuah itu ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan), Datuk Sutinah Sutan dan Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Halimah Hassan.

Abu Kassim berkata, penjawat awam perlu bertindak berani melaporkan kegiatan rasuah bagi mempertahankan maruah sektor awam serta mengubah persepsi buruk masyarakat.

''Apabila orang yang baik-baik berdiam diri, maka syaitan akan mencapai kemenangan. Keadaan seperti ini mesti dielakkan," katanya.

Tambahnya, tindakan kerajaan yang menghapuskan 200 lesen dan menetapkan tempoh masa spesifik untuk kelulusan setiap permohonan awam merupakan langkah baik untuk mengelakkan rasuah.

''Apabila masyarakat sudah tahu bila permohonan mereka akan mendapat maklum balas, maka sudah tiada sebab lagi untuk memberi rasuah," katanya.

Sementara itu, Halimah berkata, sebanyak 11,364 siasatan penguatkuasaan telah dijalankan pada 2012 di mana 2,979 notis arahan, 3,173 kompaun, 315 kes mahkamah, tiga kes gantung lesen, empat kes perintah larangan telah dikeluarkan JAS ke atas industri yang melakukan kesalahan .

''Di samping itu, sebanyak 3,394 kompaun dan 94 tindakan mahkamah telah dikenakan ke atas pemilik kenderaan bermotor atas pelbagai kesalahan melibatkan pelepasan asap berlebihan dan bunyi bising," katanya.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam satu kenyataan berkata, statistik JAS menunjukkan tiga kes tindakan tatatertib bagi jenayah rasuah telah dicatatkan pada 2012.

''Walaupun hanya tiga kes, namun JAS beriltizam untuk mewujudkan organisasi yang sifar rasuah dan berintegriti tinggi," jelas kenyataan itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment