My Add

Saturday 20 July 2013

SPAD, Pos Malaysia mudahkan pemandu teksi baharui lesen

BESUT, JUMAAT, 19 Julai, 2013: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) sedia bekerjasama dengan Pos Malaysia Berhad bagi memudahkan para pemandu teksi memperbaharui lesen serta kad pemanduan mereka di semua Pejabat Pos berdekatan.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan beban masa dan kos pengangkutan bagi mereka yang tinggal jauh dari ibu negeri atau bandar besar.

Beliau berkata, pihaknya memahami masalah tersebut dan menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan pengurusan Pos Malaysia bagi menyelesaikan isu berkenaan.

"Kami akan berbincang perkara ini dan jika pihak berkenaan boleh menyelesaikan masalah pembayaran cukai jalan, saya rasa isu dibangkitkan pemandu teksi tentang kesukaran membaharui lesen dan kad pemandu mampu diselesaikan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan sesi dialog bersama 80 pemandu teksi yang juga ahli Persatuan Kebajikan dan Pemandu Teksi Daerah Besut di sini hari ini.

Dalam pada itu, Syed Hamid memberikan jaminan bahawa bilangan bas ekspres penumpang sempena cuti sambutan Aidilfitri bulan depan mencukupi.

"SPAD sudah menerima permohonan daripada pengusaha bas terutamanya membabitkan pengusaha bas ekspres, khususnya yang menuju ke Pantai Timur bagi mendapatkan Lesen Perubahan Sementara (LPS).

"Bagaimanapun, kita hanya akan meluluskan pengeluaran LPS ke atas bas yang berusia tidak melebihi 10 tahun bagi perjalanan melebihi 300 kilometer sahaja.

"Sementara itu, bas yang berusia 15 tahun ke bawah pula hanya dibenarkan beroperasi bagi perjalanan kurang daripada 300 kilometer," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment