My Add

Saturday 20 July 2013

CSR Tabung Haji dimantapkan

 * ABDUL Azeez Abdul Rahim (kanan) memperkatakan sesuatu sambil menyampaikan sumbangan kepada seorang asnaf, Pah Omar dalam majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Projek Ehsan di TH Hotel, Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
KOTA KINABALU, JUMAAT, 19 Julai, 2013: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) bakal memperluas dan memantapkan lagi program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) untuk mendekati dan memahami secara terus permasalahan dihadapi komuniti setempat terutama di kawasan pedalaman.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya seboleh-bolehnya akan mengoptimumkan sepenuhnya jaringan maklumat untuk menjejaki, seterusnya membantu orang memerlukan secara konsisten, sebagai tambahan kepada program-program CSR sedia ada pada masa ini.

Katanya, Tabung Haji kini mempunyai beberapa program seperti Program Ehsan, Iqra', Baiti, Afiat, semuanya bermatlamat membantu pembangunan komuniti Islam memerlukan seperti fakir miskin, ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya, bantuan persekolahan pelajar miskin, membina rumah dan bantuan kesihatan pesakit-pesakit kronik.

"Semua ini adalah pelengkap kepada program CSR terbesar Tabung Haji iaitu pemberian subsidi kepada bakal-bakal jemaah haji Muassasah iaitu RM104 juta bagi mengekalkan bayaran haji pada RM9,980 seorang," katanya ketika berucap dalam Program Ehsan sempena Ramadan peringkat negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Tabung Haji Sabah, Datin Nurlaila Said.

Pada majlis itu, Tabung Haji menyerahkan sumbangan berjumlah RM70,000 kepada 140 orang penerima dari tujuh buah daerah di Sabah.

Menurut Abdul Azeez, pada tahun ini, Tabung Haji menyasarkan agihan sebanyak RM1.6 juta untuk Program Ehsan kepada lebih 3,000 golongan asnaf seluruh negara dengan Kota Kinabalu merupakan lokasi kedua selepas Kuala Lumpur.

"Penerima hari ini menerima RM500 setiap seorang. Kami berharap sumbangan ini akan dapat meringankan sedikit beban kewangan penerima dalam membuat persediaan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba nanti," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment