My Add

Saturday 20 July 2013

SPR bersih 50 nama pengundi DUN Kuala Besut sejak Mei

KUALA BESUT  SABTU, 20 Julai, 2013: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan 50 nama pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut daripada senarai daftar pemilih bermula selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) sehingga tarikh kekosongan kerusi DUN itu dimaklumkan kepada SPR.

SPR menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi DUN N1 Kuala Besut daripada Yang Dipertua DUN Terengganu pada 27 Jun lepas.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata pembersihan nama pengundi yang meninggal dunia daripada senarai daftar pemilih SPR adalah proses berterusan yang perlu diyakini rakyat.

"Percayalah daftar pemilih SPR ini bersih...tidak ada cara bagi sesiapa untuk mengundi dua kali.

"Di Kuala Besut ini misalnya sebelum kekosongan di luar jangka yang berlaku kita memang dah bersihkan daftar pemilih sebersih-bersihnya semua yang meninggal dunia," katanya pada sidang media selepas meninjau proses pengundian awal pilihan raya kecil (PRK) DUN Kuala Besut di Dewan Serbaguna Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak di sini.

Pengundian awal PRK Kuala Besut di kem TUDM Gong Kedak itu melibatkan saluran peti undi membabitkan 1,134 anggota tentera dan pasangan serta 14 anggota polis.

PRK DUN Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru. 

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan calon PAS Endot@Azlan Yusof.

Mengenai penggunaan dakwat kekal dalam PRK DUN Kuala Besut, Wan Ahmad berkata setiap saluran akan dibekalkan botol dakwat berwarna ungu dan menjelaskan beliau tidak tahu harga bagi setiap botol dakwat.

Pada masa sama, beliau turut meminta pengundi dan parti politik yang bertanding agar yakin dakwat itu tidak akan hilang walaupun selepas dibasuh, sekali gus menepis dakwaan segelintir pihak akan berlaku keadaan pengundi mengundi dua kali.

Sambil menunjukkan jari telunjuk kirinya yang telah dicelup dakwat itu, Wan Ahmad berkata: "Saya dah buat enam hari tak ambil apa-apa untuk basuh cuma cuci macam biasa tapi masih tak tanggal...maka yakinlah".

Ditanya sama ada dakwat kekal akan terus diguna pada pilihan raya di negara ini, Wan Ahmad berkata SPR akan mengkaji perkara itu dari setiap sudut sebelum mencadangkan sebarang kaedah lain kepada Parlimen.

"Kita akan bincang dengan stakeholder (pihak berkepentingan)...kalau mereka rasa mahu teruskan guna dakwat...kita akan teruskan," katanya.

Mengulas mengenai tuduhan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dari PKR bahawa pegawai tertinggi SPR termasuk pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mempunyai kaitan dengan pembekal dakwat kekal, Wan Ahmad berkata ia adalah satu fitnah dan pembohongan.

"YB Rafizi sengaja buat tuduhan dan menggunakan Parlimen untuk menabur fitnah dan melakukan pembohongan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment