My Add

Sunday 7 July 2013

Tabung Haji pastikan kuota jemaah haji tidak dikurangkan

KUALA LUMPUR, SABTU, 06 Julai, 2013: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sentiasa bersedia dengan perancangan serta strategi rapi bagi memastikan kuota haji bagi rakyat negara ini tidak dikurangkan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Paduka Ismee Ismail berkata, model pengurusan Tabung Haji yang cekap dilihat dapat memastikan jemaah haji Malaysia mendapat tempat sewajarnya untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat negara ini tidak perlu risau berhubung sebarang sekatan kuota haji tahun ini dan pelaksanaan ibadat tersebut akan diteruskan bermula awal September ini.

Dalam masa sama, beliau memberitahu, Tabung Haji sentiasa memantau kes penyebaran virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) bersama Kementerian Kesihatan bagi membendung sebarang masalah tidak diingini.

"Namun, setakat ini pengurusan Tabung Haji tiada sebarang masalah dan insya-Allah perjalanan haji tahun ini akan diadakan seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kereta Proton Preve 1.6 CVT Executive kepada johan qari dan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-56 di bangunan Tabung Haji, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, johan qari, Anuar Hasin, 29, dan johan qariah, Hanimzah Jalaluddin, 31, masing-masing membawa pulang kereta bernilai lebih RM125,000 sumbangan Tabung Haji.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismee berkata, penajaan tersebut diharap dapat menarik minat lebih ramai syarikat serta badan korporat untuk turut sama menyokong penganjuran majlis tilawah dalam usaha memartabat syiar Islam di negara ini.

Sementara itu, Anuar berkata, hadiah tersebut bakal memberi semangat kepadanya untuk meneruskan perjuangan dalam memartabat bacaan ayat suci al-Quran.

"Saya amat berterima kasih kepada Tabung Haji atas penghargaan ini, saya anggap sumbangan ini sebagai motivasi kepada saya dan para qari lain untuk memantapkan lagi penguasaan bacaan taranum," katanya.

Bagi Hanimzah pula, sumbangan tersebut merupakan rezeki buat keluarganya yang terus menyokong dan berkorban demi minatnya dalam bidang tersebut.

"Tanpa mereka, saya mungkin tidak berada pada tahap ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment