My Add

Sunday 7 July 2013

GLC Kedah dirombak - Mukhriz

Oleh SAHBULAH DARWI

ALOR SETAR, SABTU, 06 Julai, 2013: Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, beberapa syarikat milik kerajaan (GLC) dalam proses dirombak semula bagi memastikan keberkesanan syarikat terbabit menjana pendapatan kepada negeri.

Beliau berkata, proses audit dalaman juga sedang berjalan untuk tujuan tersebut termasuk bagi melihat kepada model perniagaan yang dilaksanakan syarikat berkenaan.

"Kalau kita dapati GLC itu tidak lagi dapat hidup sendiri, maka ada juga cadangan untuk hentikan terus perniagaan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen derma darah pra-Ramadan anjuran Persatuan Bekas Pelajar MRSM (Ansara) peringkat Kedah di Pusat Darah Wilayah Utara, di sini hari ini.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri juga akan mencadangkan beberapa nama baharu bagi menggantikan Ahli Lembaga Pengarah yang menghampiri tarikh berakhir perkhidmatan.

"Ini akan diumumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, beliau mencadangkan agar Pusat Darah Wilayah Utara bekerjasama dengan masjid di negeri ini untuk mengadakan kempen derma darah selepas solat tarawih.

Mukhriz yang juga Presiden Ansara berkata, kempen derma darah yang dijalankan oleh Ansara selepas solat tarawih di Kuala Terengganu tahun lalu, berjaya mencapai matlamatnya apabila sebanyak 100 pain darah dikumpul dalam tempoh tiga jam sahaja.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, kerajaan negeri akan terus menghulurkan bantuan secepat mungkin kepada mangsa banjir di Langkawi dan Kuala Kedah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment