My Add

Tuesday 9 July 2013

Tangani isu pertukaran guru

Oleh HASHNAN ABDULLAH

PUTRAJAYA, ISNIN, 08 Julai, 2013: Kementerian Pendidikan mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengenal pasti mekanisme terbaik untuk menangani masalah pertukaran guru yang kini dilihat semakin kritikal.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, langkah tersebut perlu kerana jumlah kekosongan yang ada amat terhad ekoran keputusan kerajaan melanjutkan usia persaraan kakitangan awam dari 58 tahun kepada 60 tahun.

Beliau berkata, isu opsyen guru yang memohon turut menjadi penyumbang kepada permasalahan itu, namun beliau yakin selepas guru mencapai had umur bersara jumlah kekosongan akan meningkat antara 4,000 hingga 5,000.

''Tahun ini sahaja sudah ada 16,000 permohonan pertukaran sedangkan tempat yang ada hanya 2,000 hingga 3,000. Kita melihat perkara ini perlu diberikan perhatian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis prapelancaran Temasya Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) ke-5, di sini hari ini.

SIPMA ke-5 akan berlangsung selama lapan hari bermula 15 November ini di Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) di Gambang.

Seramai 1,008 orang atlet dan 473 pegawai dari tujuh majlis sukan di bawah Kementerian Pendidikan terlibat dalam kejohanan itu.

Sementara itu, dalam ucapannya Idris berkata, kerajaan berjaya menambah dua lagi sekolah sukan iaitu masing-masing di Pahang dan Sabah menjadikan empat buah kesemuanya yang telah beroperasi.

Beliau berkata, dua buah lagi masih dalam pembinaan ialah sebuah di Terengganu dan satu lagi di Perlis.

''Semuanya ini merupakan dasar terancang kementerian dalam pembangunan sukan untuk melahirkan atlet berkemahiran tinggi," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment