My Add

Tuesday 9 July 2013

3 rang undang-undang syariah ditarik balik

KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Julai, 2013: Tiga rang undang-undang yang dijadual dibaca untuk kali kedua ditarik balik daripada Aturan Urusan Mesyuarat dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Tiga rang undang-undang itu adalah Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013, Rang Undang-undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013 dan Rang Undang-undang Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom membentangkan usul menarik balik tiga rang undang-undang berkenaan di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said.

Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan menarik balik pembentangan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 yang membenarkan ibu atau bapa yang memeluk Islam menentukan agama anak adalah Islam selepas dibaca kali pertama di Dewan Rakyat 26 Jun lalu.

Menurut Muhyiddin, keputusan tersebut perlu demi memastikan isu penentuan agama anak dalam kes seumpama itu diselesaikan dengan cara adil kepada semua.

Selain itu, kata beliau, keputusan tersebut juga bagi memberi masa kepada kerajaan serta semua pihak meneliti semula undang-undang berkenaan secara holistik. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment