My Add

Sunday 14 July 2013

Tee saran masyarakat Cina sertai kajian 'Suara Hati Johor'

JOHOR BAHRU, AHAD, 14 Julai, 2013: Masyarakat Cina di negeri ini disaran mengambil peluang menyertai kajian 'Suara Hati Johor' yang dilancar kerajaan negeri bagi memastikan hasrat dan pandangan mereka dapat diketengahkan dalam dasar kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Datuk Tee Siew Kiong, berkata penyertaan masyarakat Cina didapati masih kurang memberangsangkan walaupun kajian itu sudah dilancar bulan lepas.

"Kerjasama ketua masyarakat Cina amat perlu dalam meningkatkan penglibatan kaum itu menyertai Suara Hati Johor.

"Semua perlu ambil peluang melibatkan diri kerana jangan pula lepas ini ada pihak persoalkan apa yang kerajaan jalankan sedangkan ramai yang tidak ambil peluang apabila kita sediakan platform," katanya.

Tee berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Lukisan Kaligrafi Cina di Wisma Persekutuan Tiong Hua, di sini, hari ini.

Beliau berkata orang ramai boleh menyertai kajian itu dan menyuarakan pandangan mereka melalui laman web atau diakses melalui telefon pintar bit.ly/SuaraHatiJOHOR.

Dalam perkembangan lain, Tee berkata harga ayam di negeri ini masih terkawal dan jawatankuasa kawalan harga telah ditubuhkan bagi memantau 15 barangan keperluan sempena musim perayaan ini termasuk ayam. 

Katanya harga ayam di pasaran masih mengikut harga kawalan ditetapkan iaitu di antara RM7.50 hingga RM8.50 sekilogram.

Kenaikan harga ayam berpunca daripada permintaan tinggi pelanggan dan juga kekurangan bekalan ayam import dari negara China yang ketika ini mengalami masalah penularan wabak H7N9, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment