My Add

Friday 26 July 2013

Tengku Zaihan mula tugas sebagai wakil rakyat

 * TENGKU Zaihan Che Ku Abdul Rahman (dua dari kanan) beramah mesra dengan penduduk kampung semasa membuat kunjungan di Kampung Kayu Kelat, Kuala Besut, Terengganu, semalam. - UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR
BESUT, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman memulakan tugas hari pertamanya dengan bertemu penduduk di sekitar kawasan itu seawal pukul 10 pagi.

Terdahulu, beliau mengunjungi bapanya, Che Ku Abdul Rahman Che Ku Abdullah di Kampung Gertak Seratus bagi memohon restu sebelum memulakan tugasnya.

Tengku Zaihan yang ditemani isterinya, Siti Salbiah Osman, 34, turut bertemu golongan peniaga di Pasar Tani Kuala Besut selama 30 minit.

Beliau kemudian melawat rumah seorang penyokong BN yang meninggal dunia pagi tadi akibat penyakit lelah sejak lapan tahun lalu di Kampung Kayu Kelat.

Dalam pada itu, Tengku Zaihan ketika ditemui berkata, untuk peringkat permulaan ini beliau akan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan melihat kembali perancangan yang telah dirancang oleh wakil rakyat terdahulu.

Katanya, beliau akan merujuk semula pelan pembangunan di kawasan itu dan berusaha menyiapkan projek-projek yang sebelum ini terhenti seketika selepas kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Dr. A. Rahman Mokhtar.

"Saya akan cuba siapkan, antaranya perumahan di Pulau Perhentian, pembinaan sekolah di Kampung Aloi Peroi dan pengagihan rumah pangsa di pekan baharu Kuala Besut.

"Selain itu, perancangan selanjutnya akan dilaksanakan seperti mana yang telah diumum sepanjang tempoh berkempen 12 hari lalu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ketika ditanya adakah beliau merupakan seorang wira kerana berjaya 'menyelamatkan' Terengganu daripada tergantung dengan kemenangan 16-16, beliau memaklumkan rakyat adalah wira sebenarnya.

Beliau berterima kasih kepada penduduk Kuala Besut yang mengundinya dan masih mahu mengekalkan 'Gelombang Biru' hingga berjaya mengelakkan negeri ini daripada tergantung 16:16 seperti yang dimahukan Pas.

"Saya bukanlah penyelamat tetapi pengundi Kuala Besut adalah yang sebenarnya memainkan peranan utama dalam menentukan kemenangan BN," ujarnya.

Menurutnya, beliau juga akan menggunakan pengalaman berkempen selama 12 hari lalu sebagai platform untuk lebih menyelami hati dan kehendak rakyat.

"Rakyat sudah pilih saya, jadi, saya perlu balas jasa mereka dengan menunaikan apa yang telah dijanjikan," jelasnya yang turut memaklumkan satu majlis jamuan akan diadakan sebagai tanda terima kasih kepada rakyat di kawasan itu tidak lama lagi.

Sementara itu, ditanya berkenaan isu beliau menunjukkan kertas undi kepada media ketika membuang undi semalam sehinggakan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin pembangkang, beliau memaklumkan itu adalah satu tindak balas secara tidak sengaja.

"Ketika hari pengundian itu memang saya akui terlalu letih dan ketika insiden itu berlaku saya tidak sedar perbuatan tersebut salah dan berlaku secara spontan.

"Masa nak lipat kertas undi itu masuk ke dalam tong, jurugambar tidak henti-henti panggil saya dan saya pun tidak sengaja menunjukkan kertas undi sebab mahu memberi respons," katanya meminta tiada pihak mempolitikkan isu terbabit. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment