Tentera China ancam keamanan serantau
BANDAR SERI BEGAWAN, AHAD, 30 Jun, 2013: Filipina, hari ini menyifatkan peningkatan kehadiran pasukan tentera dan keselamatan China di wilayah maritim di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian secara tidak langsung menimbulkan ancaman kepada keamanan serantau.
Kenyataan itu dibuat oleh Setiausaha Luar Filipina, Albert Del Rosario menerusi satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada satu forum keselamatan serantau yang disertai 10 negara anggota ASEAN dan China, di sini.
"Peningkatan kehadiran pasukan keselamatan China, termasuk kapal peronda dikesan di dua gugusan pulau kecil yang terletak di dalam zon ekonomi eksklusif Filipina, iaitu Scarborough Shoal dan Second Thomas Shoul.
"Tindakan China itu secara tidak langsung meningkatkan ancaman kepada keamanan serantau, selain mencabul perjanjian 2002 yang menetapkan mana-mana negara yang membuat tuntutan tidak akan mengambil sebarang tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan," katanya.
Perjanjian yang ditandatangani oleh negara-negara ASEAN dan China itu juga menyeru agar negara-negara yang membuat tuntutan supaya tidak menggunakan ancaman atau kekerasan.
Del Rosario turut menegaskan bahawa Filipina akan terus menyokong usaha penyelesaian tuntutan secara aman dan mengikut undang-undang antarabangsa.
China menuntut hampir keseluruhan wilayah maritim di Laut China Selatan, biarpun ada antara gugusan pulau tersebut terletak berhampiran negara-negara jiran.
Negara-negara ASEAN lain yang turut membuat tuntutan ke atas wilayah maritim di perairan tersebut ialah Malaysia, Brunei, Vietnam dan Taiwan. - AFP/UTUSAN
No comments:
Post a Comment