My Add

Monday 1 July 2013

Negara Afrika beri sokongan

DAR ES SALAAM, AHAD, 30 Jun, 2013: Negara-negara Afrika memberi respons yang menggalakkan untuk memberi sokongan kepada Malaysia bagi menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi tempoh 2015/2016.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, maklum balas itu ditunjukkan oleh ketua-ketua negara dan kerajaan Afrika ketika beliau menyatakan hasrat Malaysia untuk bertanding kerusi tersebut sewaktu menyertai Dialog Perkongsian Pintar Global 2013 (Global 2013) di sini hari ini.

Menurutnya, beliau percaya bahawa sokongan politik daripada negara-negara tersebut berikutan hubungan baik Malaysia dengan Afrika yang terjalin erat menerusi penglibatan serius negara selaku penggerak utama dialog perkongsian pintar tersebut sejak 1995.

"Saya telah minta sokongan kepada Malaysia untuk kita bertanding mengisi salah satu daripada kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan PBB yang akan berlangsung tahun hadapan. Maklum balas daripada mereka amat menggalakkan," katanya kepada wartawan Malaysia dalam sidang akhbarnya di sini hari ini.

Dialog perkongsian pintar itu disertai 21 negara Afrika iaitu Tanzania, Uganda, Zambia, Angola, Botswana, Congo, Lesotho, Malawi, Mauritius, Mozambique, Namibia, Seychelles, Afrika Selatan, Swaziland, Zimbabwe, Burundi, Kenya, Rwanda, Ghana, Grenada dan Barbados.

Setakat ini, Malaysia merupakan satu-satunya negara dari ASEAN yang menawarkan diri untuk bertanding merebut kerusi berkenaan, yang pernah dimenangi sebanyak tiga kali sebelum ini iaitu pada 1965, 1989-1990 dan 1999-2000. Selain negara-negara Afrika, pada masa ini Malaysia melalui Wisma Putra sedang giat melobi untuk mendapatkan sokongan negara-negara ASEAN dan Asia.

Usaha memenangi kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan PBB itu adalah antara janji dalam manifesto Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Dalam pada itu, Najib semalam dan hari ini mengadakan perbincangan mengenai hubungan dua hala berasingan dengan Perdana Menteri Algeria, Abdelmalek Sellal; Presiden Uganda, Yoweri Museveni; dan Presiden Tanzania, Jakaya Mrisho Kikwete.

Mengulas mengenainya, Perdana Menteri berkata, Algeria berhasrat meningkatkan hubungan dua hala dengan Malaysia dan menawarkan kepada syarikat petroleum negara, Petronas untuk membida projek mencari gali minyak di negara itu.

"Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Algeria semalam, beliau berharap selain cari gali minyak, syarikat-syarikat Malaysia datang dan mengenal pasti peluang pelaburan di negara itu," katanya.

Menurut Najib, Museveni pula berharap syarikat-syarikat Malaysia sedia ada akan menambah nilai pelaburan mereka di negara itu di samping ingin melihat kemasukan pelabur-pelabur baru terutama dalam perusahaan kopi dan tenaga.

"Pada masa ini, Uganda lebih banyak mengeksport sumber mentah termasuk paling banyak ialah kopi. Bagaimanapun Uganda tidak mendapat pendapatan yang banyak daripada kopi berbanding apa yang diperoleh negara-negara yang mengimport kopi daripada mereka tetapi kemudian memproses dan menjualnya.

"Presiden Uganda berharap syarikat-syarikat Malaysia datang membuka kilang memproses kopi di negara itu atas dasar perkongsian pintar yang mana Uganda mendapat lebih pendapatan daripada pengeluaran kopi dan pada masa sama syarikat terbabit turut mengaut keuntungan," katanya.

Sementara itu, kata Perdana Menteri, Kikwete merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Malaysia atas sumbangan besarnya berkongsi pengalaman terutama berkaitan transformasi kerajaan yang mana seperti juga Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di Malaysia, Tanzania telah memperkenalkan dasar serupa. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment