My Add

Tuesday 16 July 2013

Tiada alasan kukuh naikkan harga ayam

KUALA LUMPUR, ISNIN, 15 Julai, 2013: Penternak, pemborong dan peniaga ayam tidak mempunyai alasan kukuh menaikkan harga ayam kerana bekalan di seluruh negara mencukupi untuk menampung permintaan pengguna.

Sebaliknya, menurut Pengerusi Bahagian Penternakan Ayam, Persatuan Penternak Ayam Itik Johor, Kwei Yew Thong, mereka mengambil kesempatan sempena Ramadan dan Aidilfitri untuk menaikkan harga kerana permintaan yang tinggi.

"Kita tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan ayam, malah mampu menampung permintaan pengguna sehingga tahun depan.

"Harga ladang bagi ayam hanya RM5.50 sekilogram manakala harga perlu dibayar oleh pengguna ditentukan oleh peniaga mengikut kos dan permintaan pasaran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai harga ayam yang dilaporkan tinggi sejak seminggu lalu melebihi paras siling sehingga menimbulkan keresahan para pengguna.

Sementara itu, bekas Penasihat Persatuan Pemborong Ayam Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Lee Chong Meng berkata, peniaga dan penternak menaikkan harga kerana permintaan tinggi terhadap ayam pada bulan Ramadan.

"Permintaan pasti akan bertambah apabila menjelang musim perayaan terutama Ramadan dan ini memberi ruang kepada penternak dan pemborong mengaut keuntungan lebih berbanding pada hari-hari biasa.

"Mereka juga menggunakan peluang ini untuk menampung kerugian yang dialami sebelum ini ketika permintaan kurang," katanya

Beliau turut berpendapat, kenaikan harga ayam adalah bersifat sementara dan keadaan kembali ke paras biasa selepas Aidilfitri berakhir. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment