My Add

Tuesday 16 July 2013

11 pengeksport sarang walet ke China

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
 
 * NAJIB Tun Razak (tengah) menerima cenderamata daripada Chen Wu selepas mengadakan mesyuarat bersama di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. Turut serta Ong Ka Ting (empat kiri). - BERNAMA
KUALA LUMPUR, ISNIN, 15 Julai, 2013: Kerajaan China telah memberi kelulusan kepada 11 buah syarikat Malaysia menyambung eksport sarang burung walet ke negara berkenaan berdasarkan beberapa syarat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan itu akan membolehkan industri sarang burung walet negara ini dipulihkan selepas eksport ke China tergendala selama lebih dua tahun.

''Isu sarang burung walet penting kerana ramai orang yang terlibat. Industri ini tergendala sekian lama, dua tahun tidak dapat dieksport. Sebab itu harga sarang burung walet merudum.

''Dengan keputusan ini, dalam masa tidak berapa lama lagi industri sarang burung ini akan dapat dipulihkan. Saya akan minta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Kesihatan mengambil tindakan susulan dengan segera," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada delegasi Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di pejabatnya di Bangunan Parlimen hari ini.

Delegasi seramai tujuh orang itu diketuai oleh Gabenornya yang baru dilantik, Chen Wu. Yang turut hadir Duta Khas Malaysia ke China, Tan Sri Ong Ka Ting.

Pada Jun lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa kerajaan China telah menarik balik sekatan produk sarang burung walet Malaysia ke negara itu dengan sembilan syarikat diberi status lulus dengan syarat manakala dua lagi diberi status lulus selepas pembetulan.

Isu sekatan eksport sarang burung walet dari Malaysia ke China timbul pada Julai 2011 selepas beberapa media di negara itu mempertikai kualiti bahan itu yang diimport dari negara ini.

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, Ka Ting telah melakukan pelbagai usaha dengan kerajaan China sehingga mereka memberi kelulusan istimewa kepada Malaysia.

Najib berkata, kerajaan China juga telah menetapkan bahawa Taman Perindustrian Qinzhou di China akan menjadi hab kepada pemprosesan dan penentuan dari segi ujian makmal untuk kemasukan sarang burung walet ke negara berkenaan.

''Ini merupakan satu kelulusan khas yang telah diberikan kerajaan China kepada Malaysia," katanya.

Mengenai hasil pertemuan hari ini, Najib berkata, beberapa perkara telah dibincangkan termasuk kemajuan projek pembangunan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) yang sedang dijayakan oleh semua pihak terlibat.

''Pertamanya mengenai sebidang tanah berhampiran Pelabuhan Kuantan yang telah dikenal pasti serta rundingan penyertaan sebuah syarikat China yang besar sebagai rakan kongsi dalam mengendalikan pelabuhan ini terutama dalam soal harga yang bakal menentukan penyertaannya," katanya lagi.

Mengenai Taman Perindustrian Qinzhou di China, Perdana Menteri berkata, kerajaan China telah memberi segala kelulusan pada projek itu dan dijangka dapat dijayakan sebagai satu projek yang sangat penting dalam konteks hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Beijing. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment