My Add

Monday 1 July 2013

Tiga ahli kelab rugi RM162,600

Oleh ANGELINA SINYANG

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 Jun, 2013: Demi menyokong pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), tiga lelaki mewakili dua kelab peminat pasukan itu berusaha menguruskan pembelian tiket perlawanan dan bas bagi membawa 3,165 penyokong menyaksikan perlawanan akhir Piala FA menentang Kelantan di Stadium Bukit Jalil di sini malam tadi.

Niat murni Mohd. Afis Abd. Salim, 30, dan Rosli Abd. Raman, 30, dari kelab peminat bola sepak Johor Darul Takzim Cyber Fans Club serta Mohd. Rahmat Baseri, 31, dari Darul Takzim Supporters bagaimanapun mengundang masalah apabila mereka menjadi mangsa penipuan ulat tiket perlawanan dan bas.

Akibat percaya kepada individu ketiga untuk mendapatkan tiket perlawanan dan bas membawa penyokong dari Johor ke Bukit Jalil, mereka terpaksa menanggung kerugian RM162,600 setelah diperdayakan oleh ulat tiket berkenaan.

Ketiga-tiga mereka kini hidup dalam ketakutan kerana dimaki-hamun, diugut dicedera dan dibunuh oleh penyokong bola sepak yang berang selepas gagal mendapatkan tiket dan bas untuk menyaksikan perlawanan akhir tersebut.

Mohd. Afis mendakwa, mereka terpaksa menerima tawaran ulat untuk mendapatkan tiket perlawanan setelah permohonan untuk membeli tiket secara pukal menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor ditolak pada Rabu lalu.

Katanya, melalui seorang rakan, mereka diperkenalkan kepada seorang lelaki dikenali sebagai Izal yang mendakwa dirinya seorang peminat dari sebuah kelab penyokong bola sepak Johor dan menjanjikan boleh mendapatkan tiket perlawanan sebanyak 3,165 keping dengan harga RM48 berbanding RM40 harga asal.

"Dalam pertemuan pertama dengan Izal berhampiran pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi, Johor pada Rabu lalu, kami bersetuju untuk membeli tiket perlawanan daripadanya kerana kata-katanya yang cukup menyakinkan iaitu dia mendakwa mengenali dan bersahabat baik dengan orang penting dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Selepas persetujuan dicapai, saya bersama Rosli dan tiga lagi rakan kemudian bertemu semula dengan Izal di gerai makan Stadium Bukit Jalil untuk menyerahkan wang membayar tiket sebanyak RM63,000 pada keesokan harinya dan Izal berjanji memberi tiket kepada kami pada petang hari yang sama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Afis berkata, Izal bagaimanapun gagal menyerahkan tiket dijanjikan sehinggalah pada malam perlawanan dan terus gagal dihubungi sehingga kini.

Sementara itu, Mohd. Rahmat yang turut menjadi mangsa Izal memberitahu, dia turut ditimpa nasib sama setelah menyerahkan wang RM81,600 untuk membeli tiket perlawanan bagi ahli-ahli kelabnya.

Kata Mohd. Rahmat, dia memilih membeli tiket daripada Izal kerana gagal mendapatkan tiket secara pukal dan tertarik dengan harga ditawarkan memandang harga itu jauh lebih murah berbanding tawaran ulat tiket yang menjual secara dalam talian iaitu RM70.

Rosli pula berkata, selain gagal mendapatkan tiket perlawanan, mereka turut ditimpa masalah apabila 13 bas persiaran yang ditempah bagi membawa penyokong menyaksikan akhir Piala FA dari sebuah syarikat bas di ibu negara melalui orang tengah tidak diterima sepenuhnya.

"Hanya enam bas yang sampai dan lebih mengejutkan lima daripadanya merupakan bas sekolah yang sudah usang dan tidak selesa sedangkan kami dijanjikan bas persiaran.

"Akibatnya, penyokong yang tidak mendapat bas pergi ke Bukit Jalil mengamuk dan cuba menyerang kami tetapi mujur kami sempat diselamatkan oleh polis," katanya.

Rosli berkata, dia sudah membayar wang pendahuluan sebanyak RM18,000 untuk menempah 13 bas berkenaan yang disewa pada harga RM2,300 sebuah dan mujur mempunyai baki duit tempahan untuk membayar ganti rugi kepada penyokong yang gagal mendapatkan bas. - UTUSAN A

No comments:

Post a Comment