My Add

Monday 1 July 2013

Jangan biar perosak perpaduan

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
 
 * MUHYIDDIN Yassin bersama isterinya, Noorainee Abdul Rahman diiringi Musa Aman melihat produk kraf tangan sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan 2013 di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, Kota Kinabalu, semalam. - UTUSAN/ AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
KOTA KINABALU, AHAD, 30 Jun, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan seluruh rakyat Malaysia supaya jangan sesekali membiarkan mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan mewujudkan konflik dan memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, kumpulan itu sengaja berbuat demikian untuk menggugat kestabilan negara seperti mengadakan demonstrasi jalanan yang hanya merosakkan harta-benda dan mengakibatkan kecederaan sekali gus merugikan rakyat dan negara.

"Kita seharusnya mempelajari daripada apa yang telah kita capai pada masa lalu bagi kita membentuk landasan yang akan dilalui pada masa hadapan.

"Walau apa pun bentuk landasan yang akan kita bangunkan nanti, apa yang pasti perpaduan rakyat Malaysia tetap merupakan tonggak kukuh yang membina negara ke arah yang lebih progresif pada masa hadapan," katanya semasa merasmikan Majlis Rumah Terbuka Tadau Kaamatan 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman; Timbalannya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Huguan Siou masyarakat Kadazandusun Murut; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, para pimpinan negeri dan Persekutuan.

Tambah Muhyiddin, kemakmuran dan keharmonian rakyat akan terus wujud sekiranya kerjasama antara pelbagai kaum sentiasa dipupuk dan dijaga dengan menekankan kepada semangat toleransi dan sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Katanya, dalam kes Malaysia, dengan semangat perpaduan itulah yang menjadikan negara ini mampu berkembang dan membangun dengan pesatnya sama ada dari segi politik, ekonomi, sosial dan budaya.

Mengulas mengenai sambutan Tadau Kaamatan itu, Muhyiddin berkata, melalui semangat perayaan itu sewajarnya semua pihak mengambil peluang bagi memupuk persefahaman yang lebih jitu antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Perbezaan kepercayaan dan agama merupakan lumrah dalam sebuah masyarakat majmuk, namun perbezaan bukanlah penghalang kepada usaha kita untuk mewujudkan kehidupan yang aman, makmur dan harmoni.

"Apatah lagi segala nilai murni itu merupakan antara nilai-nilai penting yang dikongsi bersama oleh semua agama dan kepercayaan. Atas dasar ini, seluruh rakyat Malaysia perlu menjadikan keharmonian kaum sebagai tunjang kekuatan yang perlu dipertahankan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment