My Add

Wednesday 17 July 2013

Tiga beranak ditahan kes tipu RM1.3 juta

Oleh ASHLEY ANGGAT

MIRI, SELASA, 16 Julai, 2013: Polis menahan tiga beranak warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan Romance Scam sehingga menyebabkan mangsa kerugian sebanyak RM1.3 juta.

Suspek berusia antara 31 hingga 54 tahun itu terdiri daripada ibu dan dua anaknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Supritendan Mohd. Firdaus Abdullah berkata, ketiga-tiga suspek ditahan Jumaat lalu kerana dipercayai terlibat menipu seorang ahli perniagaan wanita sejak awal tahun ini.

"Polis turut merampas telefon bimbit, buku simpanan bank, borang kiriman pos laju dan resit syarikat kurier.

"Ketiga-tiga mereka ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan,""katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Mangsa yang berusia 34 tahun dilaporkan berkenalan dengan seorang lelaki warga asing menerusi laman sosial sebelum diperdayakan dengan janji-janji manis termasuk pulangan perniagaan bernilai jutaan ringgit.

Percaya dengan tawaran itu, mangsa telah memasukkan wang sebanyak 40 kali di lima buah bank membabitkan jumlah terkumpul sebanyak RM1.3 juta.

Sementara itu, Mohd. Firdaus berkata, setakat ini pihaknya menahan 19 suspek termasuk sembilan warga Nigeria di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, polis masih menjejaki dua suspek kes ini dan mereka dipercayai tidak lagi berada di negeri ini.

"Kita percaya jenayah ini didalangi warga Nigeria. Mereka menggunakan akaun wanita-wanita tempatan sebagai `keldai akaun’ untuk memproses pemindahan wang.

Kesemua yang ditahan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment