My Add

Thursday 25 July 2013

Tiga beranak rentung, dua parah rumah terbakar

KOTA TINGGI, RABU, 24 Julai, 2013: Tiga beranak rentung manakala dua parah akibat melecur dalam kebakaran sebuah rumah teres setingkat di Jalan Belinjau 4, Taman Kota Jaya di sini petang tadi.

Kejadian itu dipercayai angkara seorang daripada mereka bertindak di luar jangkaan kerana berselisih faham dan mencurah kediaman tersebut dengan petrol sebelum membakarnya.

Kesemua mangsa yang maut dalam kejadian pukul 5.10 petang itu ialah seorang gadis orang kurang upaya, Ezza Nurfarhaine Othman, 24, dan anak saudaranya Maliki Hanie Aziz, 3.

Seorang lagi mangsa masih belum dikenal pasti tetapi menurut ibu Ezza, Fuziah Rejab, 54, beliau percaya mangsa tersebut ialah menantunya, Mahadir Ngapit, 30-an.

Mangsa yang cedera parah pula kerana melecur di seluruh badan ialah Nor Ezzadatul Fazlin Othman, 33, dan Nor Syafiqa Abu Sari, 18, yang merupakan adik beradik tiri.

Fuziah yang ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) berkata, dia terkejut sebaik sahaja pulang dari tempat kerja dan mendapati api sedang marak membakar rumahnya dengan kepulan asap yang tebal.

Beliau tidak dapat berbuat apa- apa melainkan melihat sahaja rumahnya itu terbakar walaupun mengetahui ada ahli keluarga terperangkap di dalamnya.

Menurut Fuziah, dia difahamkan punca kejadian adalah disebabkan salah faham daripada salah seorang ahli keluarganya yang bertindak di luar jangkaan dengan mencurah petrol di ruang tamu sehingga ke dapur lalu membakarnya.

"Saya terkilan dengan kejadian yang berlaku dan reda menerima dugaan yang berat ini di bulan Ramadan," katanya yang merupakan isteri ketiga kepada Abu Sari, 65, seorang peneroka di Felda Linggiu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Mohd Nor Rasid yang dihubungi tidak mendapat memberi pengesahan kerana kes masih lagi dalam siasatan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment