My Add

Thursday 25 July 2013

Dua beradik maut dalam nahas ngeri

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
 
 * BEGINILAH keadaan kereta Proton Saga yang meragut dua nyawa adik-beradik dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Pintasan Pelabuhan berhampiran Mahkamah Kuantan, Pahang, semalam.
KUANTAN, RABU, 24 Julai, 2013: Dua beradik maut manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah bas persiaran di Jalan Kuantan-Pintasan Pelabuhan dekat Kompleks Mahkamah Kuantan hari ini.

Sebelum nahas yang berlaku pukul 10.30 pagi itu, kereta Proton Saga dinaiki empat beradik berkenaan melanggar sebuah kereta Proton Wira yang menukar arah secara tiba-tiba sebaik sahaja keluar dari simpang.

Bas persiaran terlibat kemudian melanggar belakang Proton Saga menyebabkan Arif Akmal Ab. Razak, 22, dan adiknya, Aniq Ihsan, 16, maut akibat cedera parah di kepala dan badan.

Alif Imran, 25, yang memandu kenderaan itu dan Nur Anissa Farahanim, 21, pula cedera parah dan kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Proton Wira keluar dari simpang Jalan Mahkamah dan tiba-tiba menukar arah dari kiri ke kanan jalan.

"Alif yang memandu kereta Proton Saga dikatakan gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar bahagian belakang Proton Wira tersebut.

"Kemudian datang sebuah bas persiaran melanggar belakang Proton Saga itu menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan dan kiri belakang maut di tempat kejadian," katanya di sini hari ini.

Mohd. Jasmani berkata, anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Indera Mahkota mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Difahamkan kesemua mangsa yang beralamat di Kampung Teluk Mahang, Jalan Gambang dekat sini dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Indera Mahkota.

Dalam pada itu, keluarga mangsa yang berada di pekarangan bilik mayat HTAA enggan ditemu ramah oleh wartawan kerana masih trauma dengan kejadian tersebut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment