My Add

Sunday 28 July 2013

Tiga teras berdaya saing - PM

Oleh Hisyamuddin Ayub

 

* PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah, hari ini. Beliau hadir bagi mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri. - Foto Zunnur Al Shafiq
KOTA KINABALU, SABTU, 27 Julai, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan tiga perkara teras yang akan dilaksanakan kerajaan bagi menjadikan Sabah lebih berdaya saing setanding dengan negeri-negeri di Semenanjung.

Menurut Perdana Menteri, perkara utama yang akan diberi perhatian adalah melibatkan aspek keselamatan, kedaulatan dan keamanan sepenuhnya kepada rakyat negeri ini.

Kata beliau, kejadian pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu akan dijadikan pengajaran sebaiknya untuk kerajaan memperkasakan tahap keselamatan termasuk keberkesanan risikan.

Beliau berkata, pembinaan kem dan balai polis di kawasan yang terdedah kepada ancaman merupakan tindakan proaktif kerajaan dalam menjamin keselamatan rakyat.

"Langkah kerajaan untuk membina sebuah kem di Felda Sahabat, Lahad Datu sebagai mengukuhkan lagi tahap keselamatan di kawasan yang terdedah dengan ancaman," katanya ketika berucap dalam majlis berbuka puasa bersama pemimpin dan rakyat Sabah di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Perhubungan UMNO negeri yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Salleh Said dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin.

Mengulas lanjut, Najib berkata, perkara kedua dalam teras yang akan dilaksanakan oleh kerajaan itu adalah usaha memperhebatkan pembangunan di negeri ini terutama di kawasan pedalaman.

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan Persekutuan akan menambah peruntukan kepada kerajaan negeri mengikut kemampuan.

Menurut beliau, pelaksanaan itu diharap dapat memperbaiki tahap keperluan asas rakyat seperti bekalan air dan elektrik di kawasan pedalaman.

Selain mempertingkatkan pembangunan fizikal katanya, teras ketiga yang akan dilaksanakan adalah menitik berat kebajikan rakyat.

Jelas beliau, perkara tersebut penting bagi memastikan semua kebajikan rakyat diutamakan setelah Barisan Nasional diberi kepercayaan untuk terus menerajui negeri ini.

"Hubungan baik kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan memudahkan ketiga-tiga teras ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya demi memastikan rakyat mendapat pembelaan sewajarnya," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment