My Add

Monday 22 July 2013

TLDM miliki dua kapal latihan baharu

Oleh ROKIAH ABDULLAH

LUMUT, AHAD, 21 Julai, 2013: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mendapat dua kapal latihan baharu pada tahun ini iaitu Gagah Samudera dan Teguh Samudera bagi meningkatkan lagi keupayaannya dalam aspek latihan serta pengawasan perairan negara.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, selain aset terbaru itu , TLDM juga telah menubuhkan Markas Angkatan Kapal Selam di Pangkalan TLDM, Kota Kinabalu yang dilengkapi dengan dua buah kapal selam jenis Scorpion iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak.

Jelasnya, kelengkapan canggih berkenaan amat penting selaras dengan peranan dan tanggungjawab TLDM kini yang semakin mencabar dan meluas terutama dalam menangani isu global maritim sehingga ke perairan antarabangsa.

"Contoh terbaik yang dapat kita lihat dalam kes pencerobohan pengganas di Lahat Datu, Sabah. TLDM telah berperanan penting dalam Operasi Serkap dengan mengoperasikan 16 kapal, enam buah bot dan beberapa helikopter.

"Kelengkapan itu digunakan untuk memburu dan menangkap saki-baki pengganas serta menghalang percubaan pengganas lain daripada menceroboh perairan Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama 1,500 warga TLDM di perkarangan Masjid An-Nur di Pangkalan TLDM Lumut di sini semalam. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment