My Add

Tuesday 16 July 2013

TPPA tidak ditanda tangani jika jejas negara - Mustapa

Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

KUALA LUMPUR, SELASA, 16 Julai, 2013: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang menerima kritikan pelbagai pihak di negara ini tidak akan ditanda tangani sekiranya menjejaskan negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan mengambil pendekatan terbuka dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum TPPA dimuktamadkan.

"Terima kasih atas pandangan. Kalau benda itu menjejaskan kita sudah tentu kita tidak akan tandatangan.

"Kita mengambil pendekatan terbuka dengan mendengar dahulu sebelum kita membuat keputusan. Sudah pasti apa jua yang kita lakukan adalah berdasarkan pandangan umum dan kepentingan negara," kata Mustapa yang ditemui di lobi Parlimen.

Tegas beliau, keputusan penerimaan TPPA turut tertakluk kepada persetujuan kerajaan-kerajaan negeri dan perlembagaan.

"Kita sudah berbincang tiga tahun bermula pada 2010. Belum diputuskan lagi. Banyak hal yang belum dimuktamadkan lagi.

"Kita negara berdaulat, kita akan mempertahankan kedaulatan negara kita," tegas Mustapa.

Beliau hari ini turut menerima memorandum daripada Gabungan Bantah TPPA yang diserahkan oleh koordinatornya, A. Siva Rajah di perkarangan Parlimen.

Gabungan 40 badan bukan kerajaan itu antara lain meminta agar rundingan TPPA ditangguhkan, membentangkan rundingan untuk diperdebatkan di Parlimen serta mengemukakan analisis keuntungan kos (cost benefit) kepada rakyat.

TPPA melibatkan Malaysia, Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan terbaharu Jepun.

Ia dijangka dimuktamadkan Oktober ini.

TPPA antara lain dibimbangi memberi kesan terhadap harga ubat yang dihasilkan syarikat farmaseutikal asing yang dilindungi dengan undang-undang hak cipta yang ketat dijual di pasaran tempatan pada harga mahal.

Senario itu dijangka berlaku sekiranya syarikat farmaseutikal tempatan yang mengeluarkan ubat generik tidak lagi mampu bersaing di pasaran tempatan.

Kebimbangan juga berlaku terhadap pembukaan kontrak kerajaan kepada syarikat asing yang selama ini sering diutamakan kepada syarikat bumiputera. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment