My Add

Sunday 14 July 2013

UMNO Kelantan mahu cungkil tokoh agama

JELI, AHAD 14 Julai, 2013: UMNO Kelantan menggunakan bulan Ramadan sebagai permulaan kepada usaha parti itu melahirkan tokoh-tokoh agama yang akan ditampilkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, arahan telah dikeluarkan supaya semua bahagian mencungkil bakat tokoh-tokoh agama untuk terlibat dalam program tadarus sepanjang bulan mulia ini dan akan berterusan selepas itu.

Jelas beliau, pilihan utama ialah tokoh agama muda dan yang terlibat dalam bahagian selepas menyedari kekurangan sokongan pengundi muda menjadi salah satu punca kekalahan BN di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu.

"Kita perlu mantapkan lagi program ini dan kita tahu Perhubungan UMNO Kelantan selama ini mengadakan program agama tetapi kali ini kita akan tampilkan pemimpin-pemimpin UMNO sebagai pendakwah dan semoga menjelang pilihan raya akan datang kita ada satu barisan yang kukuh.

"Kita sedar pada pilihan raya umum lalu golongan muda adalah penentu di kebanyakan kawasan, kekurangan sokongan mereka kepada BN menjadi punca kekalahan kita," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu yang juga Ahli Parlimen Jeli dalam sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa Parlimen Jeli di Bukit Nangka, di sini malam tadi. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment