My Add

Tuesday 9 July 2013

Undang-undang tidak boleh dihapuskan hanya kerana ada desakan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Julai, 2013: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, undang- undang tidak boleh digubal atau dihapuskan hanya berdasarkan kepada desakan pihak tertentu termasuk daripada parti pembangkang.

Sebaliknya beliau berkata, sesuatu undang-undang yang melibatkan penggubalan akta perlu dikaji dengan mengambil kira pandangan banyak pihak terutama masyarakat dan pakar yang berpengalaman luas.

"Undang-undang tidak boleh digubal jika parti lawan mendesak, tetapi pada masa sama mereka mahu kerajaan mengikut 'rule of law'," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Naza World Cup Asia Paintball 2013 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa kerajaan tiada cadangan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 kerana tindakan itu akan membuka ruang pihak tertentu mempertikai perkara penting di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dr. Mahathir berkata, penghapusan beberapa akta dan usaha ke arah itu menyebabkan orang tertentu berasa bebas dan boleh melakukan apa sahaja.

"Jika dahulu, masyarakat kita begitu bertatatertib, berbudi bahasa tetapi sekarang sudah ada yang memaki hamun nabi, tetapi kita tidak boleh buat apa-apa dan kita tidak ada lagi nak kawal nafsu, buat apa sahaja," katanya.

Dr. Mahathir berkata, masyarakat bertamadun yang begitu kompleks pada hari ini perlu ada undang-undang kerana ia akan mengawal keadaan kepada lebih baik.

"Apa yang menjadi masalah sekarang bukan undang-undang itu tidak baik tetapi orang yang salah gunakan. Jadi harus dikaji akan kesan jika tidak ada undang-undang. Bila ada sudah tentu keadaan akan lebih baik," katanya.

Beliau berkata, manusia boleh hidup tanpa ada undang-undang tetapi itu pasti akan menimbulkan masalah besar kepada semua pihak.

Ditanya sama ada Akta Hasutan wajar dimansuhkan, Dr. Mahathir berkata: "Saya tidak tahu sama ada undang-undang baharu lebih baik atau lebih buruk atau tidak ada kesan sama sekali." - UTUSAN

No comments:

Post a Comment