Bank Peladang diwujudkan tahun depan - Nafas
KUALA TERENGGANU, ISNIN, 08 Julai, 2013: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menjangkakan penubuhan Bank Peladang yang digerakkan sekian lama akan dapat diwujudkan selewat-lewatnya tahun depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Saipolbahari Shuib yakin hasrat itu akan tercapai jika ahli daripada setiap Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) serta ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) melabur sebanyak RM1,000 seorang.
Katanya, sebanyak RM33 juta telah berjaya dikumpul Nafas melalui penubuhan Dana Peladang Kebangsaan sejak enam bulan lalu.
"Kita menjangkakan Bank Peladang akan ditubuhkan tidak lama lagi apabila melihat kerjasama ahli yang memberi sumbangan untuk membolehkan kita mencapai sasaran modal awal untuk menubuhkan bank ini.
"Ketika ini, kita telah melantik konsultan yang terdiri daripada beberapa buah bank di negara ini seperti Bank Muamalat dan Bank Rakyat untuk bekerjasama dalam menyusun gerak kerja bagi menjayakan penubuhan bank ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penutup Tilawah al-Quran Peladang Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Peladang di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT), Datuk Wan Zakaria Abd. Rahman; Pengarah Lembaga PPNT, Shamsuddin Mat Rani dan Pengurus Besar PPNT, Sawalludin Ahmad. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment