My Add

Saturday 20 July 2013

'UniMAP Dihatiku' bantu pelajar ke IPTA

KANGAR, JUMAAT, 19 Julai, 2013: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersedia menawarkan tempat kepada pelajar yang gagal melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menerusi program khas 'UniMAP DiHatiku'.
Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, program itu akan diadakan di seluruh negara mulai minggu depan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bukit Puteri, Besut, Terengganu sebagai destinasi pertama.

"UniMAP sememangnya memperuntukkan 40 peratus daripada kemasukan pelajar baharu sesi 2013/2014 ini menerusi program 'UniMAP Di Hatiku'," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kamarudin berkata, program itu juga selaras dengan hasrat kerajaan yang menggalakkan setiap IPTA menjelajah ke setiap pelosok negara termasuk luar bandar bagi membantu anak-anak bangsa supaya tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata, program itu juga adalah untuk menyampaikan aspirasi kerajaan bagi memberi peluang kedua kepada pelajar dan membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian.

"Kerajaan sedar peluang untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi semakin sengit dan atas beberapa faktor menyebabkan pelajar yang tinggal di luar bandar tercicir," katanya.

Jelasnya, dengan program itu, pelajar tersebut berpeluang meneruskan pengajian di UniMAP dan memilih bidang pengajian yang sesuai di peringkat diploma dan seterusnya ke peringkat ijazah.

Ujar beliau, pelajar di Terengganu yang berminat boleh hadir ke SMK Seri Bukit Puteri dengan membawa semua sijil berkaitan.

"Surat tawaran kemasukan akan terus diberikan pada 22 Julai ini oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh," jelasnya.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, sempena dengan program itu juga dianjurkan Bengkel Robotik yang akan melibatkan pelajar-pelajar sekolah sekitar Besut supaya dapat mempelajari teknik dan kaedah penghasilan robot dengan bantuan kepakaran oleh pensyarah universiti berkenaan. - UTUSAN  

No comments:

Post a Comment