My Add

Saturday 20 July 2013

Ikram lancar misi kemanusiaan ke Syria

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 19 Julai, 2013: Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) melalui wadah kemanusiaan khusus untuk Syria iaitu Ikram For Syria (i4S) akan mengadakan misi kemanusiaan pertama mereka ke negara bergolak itu mulai 27 Julai.

Pengerusi i4S, Prof. Dr. Hafidzi Mohd. Noor berkata, misi itu bertujuan menyalurkan bantuan khususnya perubatan, makanan dan kewangan selain meninjau sektor atau bidang yang boleh diusahakan bagi membantu rakyat Syria.

"Misi ini akan berlangsung selama sembilan hari, kami akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Istanbul sebelum mengambil penerbangan tempatan ke Gaziantep dan melalui perjalanan darat ke kem pelarian Syria di Kilis di Turki," katanya pada sidang berita di sini hari ini.

Beliau berkata misi kemanusiaan itu akan diketuai ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif Berhad, Dr. Mohd. Tahir Abdul Rahman dan disertai 10 peserta termasuk pegawai perubatan, wakil media cetak dan elektronik.

Melalui bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan di Syria, i4S akan meninjau khemah pelarian, hospital dan sektor atau bidang yang memerlukan bantuan.

Sementara itu, Dr. Noor Azizah Tahir daripada Ikram Health yang akan menyertai misi berkenaan berkata i4S juga akan menjalankan misi perubatan kepada rakyat Syria merangkumi tiga aspek iaitu mencegah, merawat dan pemulihan.

"Antara rawatan dan pemulihan yang perlu diberikan ialah program imunisasi besar-besaran, fizikal dan mental," katanya.

Krisis yang berlanjutan di Syria menyebabkan lebih 1.5 juta rakyatnya menjadi pelarian dan lebih lima juta orang kehilangan tempat tinggal. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment