My Add

Monday 8 July 2013

USM ambil pelajar Sabah menerusi e-Kasih

KOTA KINABALU, ININ. 08 Julai, 2013: Universiti Sains Malaysia (USM) berhasrat menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Sabah bagi menjayakan program pengambilan pelajarnya menerusi e-Kasih.

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman berkata, menerusi saluran khas itu, USM yang mempunyai autonomi dalam pengambilan pelajar, boleh mengambil sekurang-kurangnya 100 pelajar bagi setiap sesi akademik.

"Dengan adanya kerjasama pihak kerajaan negeri Sabah nanti, ahli masyarakat yang mempunyai anak dengan merit akademik yang baik tetapi dari keluarga yang susah boleh menghantar anak mereka untuk mendapatkan kemasukan khas ke USM dan pihak univerisiti akan membantu dari aspek-aspek lain," katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Naib Canselor Bersama Alumni USM, di sini semalam.

Omar berkata, USM telah mengenal pasti 200 pelajar dari Sabah dan Sarawak untuk pengambilan menerusi saluran khas itu yang tempohnya telah dilanjutkan sehingga September ini.

"Ini untuk memberi ruang kepada pihak Alumni menghantar dan mencadangkan nama mereka yang benar-benar layak untuk mendapat kemasukan khas ini... mereka ini benar-benar layak dari segi akademik dan ibu bapanya yang susah, tidak memohon, tinggal di pedalamanan ataupun yang bekerja untuk membantu keluarga," katanya.

Mengenai penubuhan Sekretariat Alumni USM Sabah itu, Omar berkata, organisasi berkenaan diharap dapat melebarkan pengaruh USM selain membawa masuk lebih ramai anggota.

"Ini untuk memastikan USM tidak hanya berada di Semenanjung sahaja. Di samping itu ia juga sebagai platform bagi alumni USM kembali memberi sumbangan kepada masyarakat di Sabah iaitu sesuai dengan kehendak USM untuk mengembangkan aspek ketiga dengan memberikan kembali kepada masyarakat apa yang telah dipelajari semasa di USM," katanya.

Katanya setakat ini terdapat kira-kira 2,000 alumni USM di Sabah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment