My Add

Sunday 21 July 2013

Wanita kerugian RM31,000 beg tangan dicuri gadis berpurdah

 * MEK Nab Saad menunjukkan cara begnya hilang diseluk wanita berpurdah di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
KOTA BHARU, SABTU, 20 Julai, 2013: Medan Ilmu di Jalan Dato' Pati di sini bukan sahaja menjadi tempat orang ramai mendengar ceramah disampaikan pemimpin Pas termasuk Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, malah kawasan itu juga tumpuan penjenayah khususnya penyeluk saku menjalankan kegiatan mereka.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi semalam, Mek Nab Saad, 51, kerugian lebih RM31,000 selepas beg kecil miliknya mengandungi wang tunai, barang kemas dan beberapa barangan berharga lain dilarikan penjenayah dipercayai dua wanita berpurdah.

Menurut mangsa, beg kecil itu diletakkan di dalam beg tangannya dan kehilangannya hanya disedari ketika dia hendak membayar harga baju di sebuah kedai pakaian berhampiran.

Mek Nab percaya begnya itu dicuri oleh kedua-dua wanita tersebut kerana mereka mengekorinya semasa dia dalam perjalanan dari stesen bas di bandar ini menuju ke Medan Ilmu berkenaan.

Dia mendakwa kedua-dua wanita berkenaan yang memakai jubah lengkap berpurdah itu terus mengekorinya sehingga sampai ke kedai pakaian tersebut.

Dakwanya, dia yang pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa terhadap kedua-dua wanita itu tiba-tiba terasa seolah-olah dipukau dan tidak menyedari apa-apa berlaku dan mula tersedar apabila ingin membuat pembayaran.

"Saya terkejut apabila ingin membuat pembayaran, beg saya telah tiada dan kebetulan pada masa itu kedua-dua wanita yang mengekori saya juga sudah tidak kelihatan. Wang tunai, barang kemas, buku bank dan kad pengenalan semuanya berada di dalam beg kecil itu.

"Saya percaya kedua-dua wanita itu menyeluk beg tangan yang tidak bertutup dan mencuri beg kecil itu. Saya tidak mampu berbuat apa-apa ketika itu dan berasa sangat lemah sebelum ditenangkan oleh beberapa orang yang berada di kawasan berhampiran, '' katanya ketika ditemui di rumahnya di Berek 12 di sini semalam.

Ekoran kejadian itu dia membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment