My Add

Monday 8 July 2013

Warga Pakistan dipenjara 36 bulan, 3 sebat tipu juruwang

PETALING JAYA, ISNIN, 08 Julai, 2013: Seorang warga Pakistan yang sebelum ini didakwa membunuh seorang ejen hartanah, dihukum penjara berjumlah 36 bulan dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menipu tiga juruwang pasar raya.

Majistret KB Elena Hong Tze Lan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan satu sebatan ke atas Ishtiaq Ahmad Khan bagi setiap pertuduhan selepas dia mengaku bersalah.

Bagaimanapun, Hong memerintahkan tertuduh menjalani semua hukuman secara serentak mulai 7 Julai 2012.

Ishtiaq didakwa menipu B.Punitha, 26, Zainab Mohamad, 26, dan Rosnizam Mohd Ramli, 26, menggunakan sekeping kad debit sehingga mendorong mangsa menyerahkan, antaranya, dua komputer riba serta pelbagai sayur-sayuran di Tesco Mutiara Damansara dan Aeon Bandar Utama Damansara antara 6 Julai dan 7 Julai tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 13 Ogos 2012, Ishtiaq Ahmad didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh Tang Yong Ching, 45.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu bersama beberapa orang yang masih bebas di Blok F, Pejabat Taipan 1, Jalan PJU 1A-3N, Ara Damansara di sini antara 4 petang dan 11 malam pada 5 Julai tahun lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 20 Ogos untuk sebutan kes itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment