My Add

Monday 8 July 2013

Poland minat teroka pasaran halal

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

 
* AHMAD Maslan yang mewakili kerajaan Malaysia bertukar dokumen dengan Duta Besar Poland ke Malaysia, Adam Jelonek (kanan) yang mewakili Poland selepas menandatangani perjanjian pengelakan pencukaian dua kali dan pencegahan pelarian fiskal berkenaan dengan Cukai atas Pendapatan (DTAA) di Kementerian Kewangan, Putrajaya hari ini. - BERNAMA

PUTRAJAYA, ISNIN, 08 Julai, 2013: Poland berhasrat menjalin kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membangunkan industri halal di negara tersebut.

Duta Besarnya ke Malaysia, Adam Jelonek berkata, kerjasama itu berdasarkan keyakinan pihaknya dengan kepakaran negara ini yang terkenal sebagai hab halal utama di kalangan negara Islam.

"Biar pun agama Islam merupakan minoriti di sana tetapi perkembangan mutakhir ini menunjukkan semakin ramai rakyat Poland memeluk agama Islam dan menjadikan industri halal semakin penting.

"Justeru, kita berhasrat dapat mewujudkan kerjasama antara kedua-dua negara bagi menjayakan produk makanan halal dalam masa terdekat ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali dan Pencegahan Pelarian Fiskal Berkenaan Dengan Cukai Atas Pendapatan (DTAA Malaysia-Poland) antara kerajaan Malaysia dan Poland di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Perjanjian tersebut menyaksikan Malaysia diwakili oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Menurut Adam, pada masa sekarang Poland merupakan salah sebuah daripada dua negara di benua Eropah yang mendapat akses memasarkan produk makanan dan kosmetik halal ke Malaysia sejak dua tahun lalu.

Dalam pada itu, mengulas dagangan dua hala dengan Malaysia, Adam berkata, kedua-dua negara itu dalam perbincangan lanjut untuk melaksanakan pelaburan langsung bermula tahun hadapan.

Katanya, menerusi pelaburan tersebut pihaknya yakin pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara akan berkembang.

Sementara itu, Ahmad berkata, Poland merupakan salah sebuah negara dagangan penting di mana dalam tempoh empat bulan antara Januari hingga April ini sahaja sebanyak RM6818.8 juta jumlah dagangan dicatatkan antara kedua-dua negara.

Katanya, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 44.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Poland merupakan negara dagangan ke-12 terbesar di rantau Eropah di mana pada tempoh Januari hingga April jumlah eksport kita ke sana bernilai RM263.4 juta manakala import dari sana mencecah RM418.4 juta.

"Antara produk yang dieksport ke sana ialah barangan elektrik dan elektronik, getah, bahan kimia, kayu dan getah mentah manakala, barang yang diimport termasuk produk optik, peralatan sains, barangan metal, produk berasaskan getah, makanan serta peralatan elektrik dan elektronik," katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment