My Add

Thursday 25 July 2013

Yayasan galak penggunaan teknologi hijau ditubuh

PUTRAJAYA, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kettha) akan menubuhkan yayasan yang berfungsi untuk menggalakkan penggunaan teknologi hijau bagi memastikan sumber bekalan tenaga dan air negara terjamin.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, penubuhan yayasan tersebut akan turut disertai pihak swasta, sekolah dan badan bukan kerajaan lain, seperti pertubuhan belia IM4U.

"Penubuhan yayasan ini masih lagi dalam peringkat perbincangan, dan kami masih belum memutuskan nama yang sesuai untuk yayasan tersebut, namun kami menjangkakan penubuhannya akan dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata kepada media pada majlis berbuka puasa kementerian itu serta pelancaran anugerah industri Kettha, di sini semalam.

Mengenai dana penubuhan yayasan terbabit, Ongkili berharap bantuan kewangan yayasan terbabit dapat disalurkan oleh kerajaan serta pihak swasta yang terlibat.

Menurutnya, penubuhan yayasan ini juga secara langsung akan mempromosi penggunaan teknologi hijau di negara ini serta perkembangan industri tersebut.

Mengenai anugerah industri Kettha, beliau berkata, ia bertujuan mengiktiraf serta menghargai usaha dan kecemerlangan industri.

Terbahagi kepada dua kategori, sektor tenaga dan air, anugerah ini terbuka kepada semua peserta industri terbabit.

Penyertaan dibuka mulai hari ini hingga 6 September, dan majlis penyampaian anugerah akan berlangsung pada November. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment