My Add

Saturday 19 April 2014

20 maut pangkalan PBB diserang

 * DUA orang anggota pengaman PBB, berkawal di pangkalan UNMISS di Bor, Sudan Selatan, kelmarin. - AGENSI
JUBA, JUMAAT, 18 April, 2014: Sekurang-kurangnya 20 orang terkorban, manakala 70 orang lagi cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata yang menyamar sebagai penunjuk perasaan menyerang sebuah pangkalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan Selatan, semalam.

Duta Amerika Syarikat ke PBB, Samantha Power mengutuk serangan itu, yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusian terhadap 5,000 penduduk yang berlindung di pangkalan itu, yang terletak di bandar bergolak Bor.

Penyerang menggunakan bom tangan dan pelancar roket untuk memecahkan halangan di pangkalan tersebut, sebelum melepaskan tembakan ke arah penduduk yang berada di dalamnya.

Siasatan awal mendapati penduduk yang berada di pangkalan itu hanya mengalami kecederaan, namun Power berkata, terdapat banyak penduduk yang terbunuh.

'AS mengutuk serangan yang dilancarkan oleh kumpulan bersenjata di Sudan Selatan, yang menjadikan orang awam serta pegawai dan kawasan pasukan pengaman PBB di Sudan Selatan (UNMISS) sebagai sasaran,' jelasnya.

Ujar Power, AS akan bekerjasama dengan sekutunya bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab berhubung 'serangan ngeri' itu dan membawa mereka ke muka pengadilan.

Power turut menggesa negara-negara yang mahu menghantar tentera untuk menyertai UNMISS supaya segera melaksanakan tindakan tersebut.

'Penduduk Sudan Selatan berhak mendapat peluang untuk membina semula negara ini, membangunkan bangsa dan perlembagaan mereka bagi mewujudkan negara yang stabil dan demokrasi,' tambah Power.

Sebelum itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon melalui jurucakapnya, Stephane Dujarric mengutuk serangan yang disifatkan bakal memburukkan lagi keadaan di negara ini. - AFP/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment