My Add

Saturday 19 April 2014

Feri buat pusingan mendadak - Pakar

 * SEBAHAGIAN pekerja penyelamat, memasang pelampung (kanan) bagi menandakan lokasi feri Sewol karam di perairan Jindo, Korea Selatan, semalam. - REUTERS
JINDO, Korea Selatan, JUMAAT, 18 April, 2014: Data pengesan daripada Kementerian Maritim Korea Selatan menunjukkan feri yang karam di kawasan perairan selatan negara ini, membuat pusingan tajam secara mendadak sebelum menghantar isyarat kecemasan pertama.

Beberapa pakar percaya, pusingan mendadak tersebut mungkin menjadi punca kargo berat yang dibawa termasuk lebih 150 kenderaan beralih kedudukan, mengakibatkan feri itu tidak stabil sehingga menyebabkannya menyenget dan karam.

Bagaimanapun, beberapa pakar lain berpendapat pusingan itu mungkin menyebabkan feri tersebut terlanggar batu atau objek lain yang berada di dalam laut di kawasan kejadian.

Pengarah Perhubungan Awam Kementerian Maritim, Nam Jae-heon hari ini berkata, feri tersebut membuat pusingan mendadak pada kira-kira pukul 8.48 pagi dan 8.49 pagi waktu tempatan (9.48 pagi dan 9.49 pagi waktu Malaysia).

'Namun, tidak dapat dipastikan sama tindakan itu disengajakan atau disebabkan faktor luar," katanya.

Siasatan kini turut dijalankan tentang sama ada arahan oleh kapten untuk membuat pusingan cepat, mungkin boleh menyelamatkan 462 penumpang feri tersebut.

Ketua Pendakwa Raya, Lee Seong-yoon berkata, tiada had dalam menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.

'Kami akan pastikan mereka yang bertanggungjawab dalam nahas itu dibawa ke muka pengadilan,' katanya.

Feri tersebut berlepas dari pelabuhan di Incheon empat hari lalu membawa penumpang yang kebanyakannya pelajar sekolah ke destinasi pelancongan terkenal di Pulau Jeju. - AFP/AGENSI/UTUSAN

No comments:

Post a Comment