60,000 pekerja kontrak di sekolah belum nikmati gaji minimum
PETALING JAY, jumaat,A 04 April, 2014: Lebih 60,000 pekerja kontrak dalam sektor pelajaran di seluruh negara belum menikmati gaji minimum seperti yang ditetapkan kerajaan, kata Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Khalid Atan.
Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, beliau berkata, pekerja terbabit, termasuk pencuci, tukang kebun, pengawal keselamatan dan warden lalu lintas, masih dibayar gaji lama dengan kadar purata RM400 dan RM600 sebulan.
Oleh itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan segera memberi perhatian terhadap nasib golongan berkenaan yang menghadapi keperitan akibat kenaikan kos sara hidup.
Dasar gaji minimum RM900 sebulan di Semenanjung Malaysia dan RM800 sebulan bagi Sabah dan Sarawak, berkuatkuasa pada 1 Januari 2013, tetapi hanya dilaksanakan sepenuhnya Januari tahun ini.
Bagaimanapun, ada juga majikan diberi pengecualian lanjutan hingga 1 April lepas untuk melaksanakannya.
Khalid menyeru Kementerian Sumber Manusia meningkatkan urusan penguatkuasaannya untuk memastikan dasar itu dipatuhi semua pihak. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment