Turunkan kadar tol motosikal di jambatan kedua P.Pinang
GEORGE TOWN, jumaat, 04 April, 2014: Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang meminta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyelaraskan kadar tol motosikal (Kelas 0) di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah kepada RM1.40, sama seperti kadar tol di Jambatan Pulau Pinang.
Ketua pergerakan itu Rafizal Abd Rahim berkata kadar tol di jambatan baharu itu, yang 30 sen lebih berbanding di Jambatan Pulau Pinang, membebankan penunggang motosikal yang kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
LLM dan pemegang konsesi jambatan itu juga diharap dapat menimbang pemberian diskaun 20 peratus kepada pengguna berasal dari Pulau Pinang yang menggunakan jambatan baharu itu, katanya pada sidang media di sini, semalam.
Sebelum ini, LLM mengumumkan kadar tol bagi jambatan baharu itu ialah RM1.70 untuk motosikal (Kelas 0), RM8.50 untuk kereta, kecuali teksi dan bas (Kelas 1), RM30.50 untuk kenderaan dua gandar dan enam roda, kecuali bas (Kelas 2), RM70.10 untuk kenderaan tiga gandar atau lebih, kecuali bas (Kelas 3), RM8.50 untuk teksi (kelas 4) dan RM26.20 untuk bas (Kelas 5).
Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, yang menghubungkan Batu Kawan di Seberang Perai dan Batu Maung di bahagian pulau, ialah jambatan kedua di Pulau Pinang. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment