My Add

Friday, 4 April 2014

Agihan 3F lewat kerana dana habis

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 03 April, 2014: Dewan Rakyat hari ini diberitahu kelewatan pengagihan peruntukan Tabung untuk Makanan (3F) kepada golongan petani berlaku kerana kekurangan dana.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, kementerian kini berusaha mendapatkan tambahan dana bagi membolehkan lebih banyak petani dapat dibantu.

Beliau memberi jaminan pemberian pinjaman di bawah skim 3F akan diteruskan bagi memastikan pengeluaran makanan negara terus meningkat.

“Kementerian sedang mencari dana tambahan kerana RM2.8 bilion yang diperuntukkan sudah habis. Dana berkenaan diurus dengan berhati-hati dan kita mahu pemberiannya diteruskan," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang meminta penjelasan kenapa berlaku kelewatan pengagihan dana itu yang dibuat menerusi Bank Agro.

Menurut Tajuddin, kerajaan menyalurkan dana RM3.9 bilion kepada pelbagai industri pertanian negara menerusi Agrobank iaitu sebanyak RM2.8 bilion untuk para peminjam bagi skim 3F manakala baki RM1.1 bilion diperuntukkan antara lain untuk Skim Kredit Padi, Skim Pembiayaan Bot Perikanan, Skim Usahawan Tani Komersial Siswazah, Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera serta industri kecil dan sederhana.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan peminjam ialah 113,000 orang yang mana sebanyak 16,000 daripadanya adalah untuk skim 3F.

"Dana yang disalurkan sehingga kini berjaya meningkatkanpengeluaran makanan negara seperti tangkapan ikan sehingga pengeluarannya melebihi keperluan domestik manakala pengeluaran ayam sebanyak 8.3 juta tan metrik juga melebihi permintaan domestik iaitu sebanyak 1.3 juta tan metrik," katanya.

Namun, kata beliau, pengeluaran daging lembu, kerbau dan kambing hanya sekitar 20 peratus daripada permintaan dalam negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment