Imigresen tahan 23 PATI
PULAU PINANG, KHAMIS, 03 April, 2014: Sebanyak 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Pulau Pinang di Batu Feringghi, di sini malam tadi.
Kesemua yang terdiri daripada 20 lelaki dan tiga wanita itu, ditahan dalam operasi selama tiga jam bermula pukul 9 malam, kerana dipercayai menjadi peniaga dan pembantu gerai di kawasan tumpuan pelancong terbabit.
Pengarah Imigresen negeri, Hasbullah Abd. Rashid berkata, berdasarkan maklumat, pihaknya membuat siasatan dan mengenal pasti sebanyak 15 buah gerai di situ diusahakan warga asing yang kebanyakannya dari Bangladesh dan Indonesia.
Selain daripada itu, ada antara mereka yang bekerja dengan pemilik warga tempatan. Kesemua mereka ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 39b Peraturan Imigresen 1959/63 kerana didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial," katanya kepada Utusan Malaysia selepas operasi tersebut.
Menurut beliau, dalam operasi itu juga, beberapa PATI cuba melarikan diri dan meninggalkan gerai jualan namun berjaya ditahan pihak berkuasa.
Hasbullah menambah, pihaknya turut merampas pelbagai barangan jualan warga asing terbabit yang dipercayai tiruan.
Ramai peniaga tempatan merungut dan membuat laporan berkaitan kehadiran peniaga warga asing yang menjejaskan periuk nasi mereka di kawasan itu," katanya.
Beliau memberitahu, kesemua PATI yang ditahan itu dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Juru untuk tindakan lanjut. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment