My Add

Wednesday 16 April 2014

Ancaman siber: ASEAN bakal tubuhkan CERT

Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

KUALA LUMPUR, RABU, 16 April, 2014: ASEAN bakal menumbuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer (CERT) bagi menghadapi ancaman siber yang semakin meningkat dalam kalangan negara-negara anggotanya.

Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia, Tan Sri Mohd. Azumi Mohamed Said berkata, perbincangan mengenai penubuhan CERT peringkat ASEAN itu telah dilakukan dalam forum serantau dan kini di peringkat perlaksanaan.

"CERT ini adalah satu bertujuan bagi mempertingkatkan lagi kerjasama antara satu sama lain dari segi maklumat, tindak balas dan peningkatan keupayaan yang diadakan melalui latihan dan bangkel dalam menghadapi ancaman siber.

"Kalau kita lihat Kesatuan Eropah yang melibatkan 28 buah negara telah mempunyai CERT tersendiri, Afrika dan Asia Pasifik juga ada CERT," kata Mohd. Azumi.

Mohd. Azumi ditemui selepas menyampaikan ucaptama Persidangan Keselamatan Siber sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Menurut Mohd. Azumi dalam menuju penubuhan Komuniti ASEAN dan sebagai tidak balas menghadapi cabaran siber, penubuhan CERT tersebut adalah penting.

"Negara Jepun yang turut mengalami serangan siber terhadap 19 laman web pada 2012 telah mencadangkan supaya diadakan satu bentuk kerjasama dengan ASEAN yang membabitkan perkongsian maklumat, teknologi dan tindak balas bersama.

"Amerika Syarikat juga berpandangan ancaman siber ini lebih daripada cabaran ekonomi dan keselamatan. Britain turut berpandangan ancaman siber ini merupakan satu bentuk serangan pengganas," beliau.

Mohd. Azumi menjelaskan Malaysia mengambil berat terhadap ancaman siber dan telah mengadakan Polisi Siber Kebangsaan untuk menentukan ruang siber negara sentiasa selamat.

"Malaysia sudah ada MyCERT tersendiri, kita juga adalah Jawatankuasa Pemandu Asia Pasifik CERT dan kita juga penasihat dan sekreteriat kepada CERT bagi negara-negara Islam," kata Mohd. Azumi. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment