My Add

Friday 18 April 2014

BN teliti rang undang-undang hudud Pas

PULAU PINANG, KHAMIS 17 April, 2014: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Barisan Nasional (BN) akan meneliti secara mendalam draf undang-undang hudud yang bakal dibentangkan Pas di Dewan Rakyat sebelum membuat pendirian mengenainya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, BN perlu memastikan draf undang-undang hudud yang diuar-uarkan Pas ketika ini selari dan tidak bercanggah dengan undang-undang Islam sebenar.

Dalam masa sama, tegas Muhyiddin, beliau secara peribadi tidak menghalang malah bersama-sama Pas dalam niat suci melaksanakan hukum hudud itu yang sememangnya dituntut oleh Islam.

"Kita tidak tahu bagaimana bentuk usul berkenaan hukum hudud yang mahu dibentangkan Pas itu nanti.

"Jadi, apabila sampai peringkat dibawa ke Dewan Rakyat, kita dalam BN meskipun ada yang Islam dan bukan Islam akan kaji dan membuat pendirian jelas apabila tiba waktu yang sesuai," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup kira-kira sejam bersama pemimpin UMNO Pulau Pinang di sini hari ini sempena lawatan sehari beliau ke negeri ini.

Muhyiddin mengulas keputusan Kerajaan Pas Kelantan yang akan membawa usul rang undang-undang persendirian dalam sidang Dewan Rakyat bagi melaksanakan hukum hudud di negeri itu menjelang 2015.

Keputusan itu susulan kesediaan Kerajaan Persekutuan memberi laluan kepada mana-mana negeri menguatkuasakan hukum hudud di negeri masing-masing.

Walau bagaimanapun, DAP menerusi Penasihat, Lim Kit Siang dan Ketua Publisiti, Tony Pua serta Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Surendran memberi peringatan keras kepada Pas bahawa hukum hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang dan sebarang cubaan untuk membentangkan usul rang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat akan ditentang. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment