My Add

Saturday, 5 April 2014

Dagangan Malaysia pada februari naik 11 peratus

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 04 April, 2014: Jumlah perdagangan Malaysia pada Februari meningkat 11 peratus kepada RM107.39 bilion berbanding bulan yang sama tahun lepas, didorong oleh pertumbuhan lebih tinggi dalam eksport berbanding import.

Perdagangan yang tinggi dicatatkan dengan Singapura, yang meningkat RM2.28 bilion, China (RM1.73 bilion), Jepun (RM1.2 bilion), Arab Saudi (RM919.1 juta), Taiwan (RM793.8 juta), Jerman (RM760.6 juta), Emiriyah Arab Bersatu (RM742.5 juta) dan Amerika Syarikat (RM726.7 juta).

Eksport ke negara-negara ASEAN naik 5.7 peratus kepada RM15.97 bilion, menyumbang 27.1 peratus daripada jumlah eksport Malaysia pada Februari, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kenyataan di sini hari ini.

MITI berkata, eksport ke Amerika Syarikat meningkat 8.4 peratus kepada RM4.53 bilion pada Februari.

Eksport yang lebih tinggi ke Amerika disumbangkan barangan elektrik dan elektronik terutamanya kelengkapan telekomunikasi dan alat ganti serta kimia dan bahan kimia.

Kementerian itu berkata, eksport pada Februari berkembang 12.3 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya kepada RM58.91 bilion.

Import meningkat 9.5 peratus kepada RM48.48 bilion pada Februari, yang kebanyakannya terdiri daripada barangan pengantara, yang naik 9.4 peratus atau RM2.38 bilion.

MITI berkata, lebihan perdagangan meningkat sebanyak 27.2 peratus kepada RM10.44 bilion pada Februari.

Perdagangan Malaysia antara Januari dan Februari bernilai RM228.98 bilion, naik 10.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata MITI.

Dalam tempoh dua bulan, eksport meningkat 12.3 peratus kepada RM122.89 bilion, manakala import berkembang sebanyak 8.3 peratus kepada RM106.09 bilion.

Menurut MITI, lebihan dagangan sebanyak RM16.79 bilion dicatatkan dalam tempoh semasa.

Pengembangan dalam perdagangan dicatatkan dengan China (naik 14.2 peratus), Jepun (10.1 peratus), Kesatuan Eropah (7.6 peratus), Amerika Syarikat (7.1 peratus) dan ASEAN (1.7 peratus), kata kementerian itu.

Negara-negara lain yang mencatatkan peningkatan perdagangan dengan Malaysia ialah Australia (naik 29.5 peratus), Hong Kong (33.9 peratus), Emiriyah Arab Bersatu (35.2 peratus), Taiwan (18.4 peratus) dan Korea Selatan (12.8 peratus peratus).

Perdagangan dengan ASEAN bernilai RM61.49 bilion bagi tempoh Januari hingga Februari, menyumbang 26.9 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia dengan 10 negara anggota kumpulan serantau dalam tempoh itu berbanding 29.1 peratus pada tempoh sama tahun lepas. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment