My Add

Thursday 17 April 2014

Dihukum gantung

Oleh AZELI ALI

PULAU PINANG, RABU, 16 April, 2014: Seorang penjual burger dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang pemuda yang juga abang teman wanitanya, kira-kira empat tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani A. Rahim membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan ke atas Mohd. Firdaus Mokhtar, 31, yang didakwa membunuh Mohd. Faizal Mohd. Zain, 28.

Mohd. Firdaus didakwa dengan niat menyebabkan kematian mangsa di sebuah rumah di No. 1089, Jalan Selamat, Sungai Bakap dekat sini kira-kira pukul 3 petang, 3 Mei 2010.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian tersebut, Mohd. Faizal ditemui mati di dalam sebuah rumah yang disewa sepasang warga emas selepas ditikam di leher, dada dan betis oleh penjenayah yang cuba merompak warga emas, Hussin Abdul Rahman, 80.

Mohd. Faizal yang tinggal kira-kira 500 meter dari rumah mangsa cuba membantu Hussin yang diikat oleh perompak terbabit, namun dia sendiri menemui ajal dengan kesan lebam di beberapa bahagian badan akibat dipukul penjenayah terbabit.

Hakim Zamani dalam keputusannya berkata, berlaku percanggahan keterangan antara tertuduh dan dua saksi pembelaan mengenai masa tertuduh bangun daripada tidur dan keluar mendapatkan barangan jualan burger pada hari kejadian.

Selain itu, katanya, pihak pembelaan juga gagal memanggil adik perempuan tertuduh sebagai saksi ketika perbicaraan bagi menyokong hujah mereka.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Emma Syafawati Abdul Wahab manakala tertuduh diwakili peguam, M. Chandran.

Tertuduh yang memakai seluar jean berwarna biru dan berbaju T putih kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan dan akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment